Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air dengan majoriti besar 1,854 undi yang menggambarkan masyarakat Iban di pedalaman menyokong kuat kerajaan dan menolak pembangkang.
Calon BN, Malcom Mussen Lamoh memperoleh 3,907 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang (2,053 undi).
Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Batang Air, Nelson Mujah Girie pada pukul 7.44 malam di Kompleks Sukan Lubok Antu di sini hari ini.
"Saya sebagai Pengurus Pilihan Raya N.29 Batang Air mengisytiharkan Malcom Mussen Lamoh menang dengan majoriti 1,854 undi.
"Sebanyak 59 undi rosak manakala 75.32 peratus dari 3,006 pengundi telah keluar mengundi," kata beliau.
Kerusi DUN Batang Air kosong selepas penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot (BN) meninggal dunia pada 24 Februari setelah koma sembilan bulan akibat diserang angin ahmar.
Proses pengiraan untuk kesemua kotak pembuangan undi di 25 pusat pengundian selesai pada pukul 7.30 malam sebelum pengumuman calon yang menang dibuat oleh Mujah.
Kemenangan Malcom turut diraikan oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr. James Masing; Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abang Johari Tun Openg; dan Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan.
Sementara itu, Malcom yang ditemui bersyukur dan berterima kasih kepada semua komponen BN yang bekerja keras membantu kemenangannya.
"Saya berterima kasih kepada semua pengundi. Sudah tentu terima kasih ini juga kepada semua parti komponen BN. Pengundi bijak dan matang dalam membuat keputusan," kata beliau.
Sehubungan itu, beliau berjanji melaksanakan pembangunan dalam tempoh dua tahun akan datang di DUN Batang Air dengan menaiktaraf prasarana kesihatan, jalan raya, sekolah di kawasan pedalaman dan sebagainya.
Wednesday, April 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment