'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Thursday, May 21, 2009

RM3.678 bilion bina jalan di Sarawak

Sejumlah RM3.678 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pembinaan jalan raya di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9).

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, daripada jumlah itu, RM2.108 bilion akan disalurkan untuk projek jalan raya di bawah Kementerian Kerja Raya.

Manakala RM1.57 bilion lagi, katanya diperuntukkan untuk program jalan raya negeri yang diluluskan bagi pembangunan jalan raya di negeri ini.

“Setakat April tahun ini, kira-kira RM1.539 bilion telah dibelanjakan untuk Projek Jalan Persekutuan manakala RM901.49 juta untuk Projek Jalan Negeri.

“Saya amat yakin, pada penghujung RMK9, kita dapat menggunakan kebanyakan peruntukan yang diluluskan bagi projek jalan raya,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam berkata, di bawah RMK9 penekanan juga diberikan untuk menaik taraf jalan sedia ada bagi menyediakan sistem jalan yang berstandard tinggi dan lebih selamat.

“Keutamaan juga diberikan untuk meningkatkan jalan-jalan di kawasan trafik sibuk dan kawasan kerap kemalangan,” katanya.

Wong berkata, terdapat 68 projek diluluskan di bawah Program Jalan Persekutuan dalam RMK9 untuk dilaksanakan.

“Setakat ini, 38 projek sudah siap sementara yang lain masih berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan”.

Projek-projek besar sedang dalam pembinaan ialah pembinaan jalan akses ke pusat pentadbiran persekutuan yang dicadangakn di Rambungan dari Petra Jaya, pembinaan Jalan Bawang Assan/Seredang, pembinaan Jalan Kuala Balingian/Kuala Serupai (Bintulu), pembinaan jalan akses dari Tanjung Assam ke Kampung Keranji di Betong, pembinaan jalan akses dari Kota Samarahan ke Jalan Lubok Punggor/Lubok Trenggas/Gumpey di Samarahan, pembinaan jalan akses dari Awat Awat ke Punang di Lawas dan pembinaan jalan Long Teru ke Long Lama di Miri.

Menurut Wong lagi, antara projek menaik taraf ialah Jalan Kuching-Sibu yang dinaikkan taraf daripada jalan dua lorong menjadi empat lorong bagi jarak di antara simpang Jalan Jalau ke simpang Jalan Lapangan Terbang Sibu, kerja-kerja penambahbaikan jalan antara kilometer (km) 67 ke km 68 Jalan Kuching-Lundu sedang dijalankan, membaiki bahagian Bukit Genting di sepanjang Jalan Serian-Sri Aman, penambahbaikan jalan di Bukit Begunan dan menaik taraf Jalan Mambong-Sejingkat.

Beliau berkata, sebanyak tujuh jambatan kini masih dalam pembinaan iaitu Jambatan Pulau Batang Loba (Mukah), Jambatan Batang Belawai (Mukah), Jambatan Sungai Pelasan (Betong), Jambatan Batang Trusan (Limbang), Jambatan Batang Lawas (Limbang), Jambatan Sungai Menyan (Sibu) dan Jambatan Sungai Pedai (Sibu).

Bagi reka bentuk jalan baru, katanya jalan akses sejauh 19 km akan dibina dari Ng Nai ke Kampung Tanjung Mulong dan Kampung Bruit (Mukah), jalan akses sejauh 25 km dari Lawas ke Long Sukang (Limbang), jalan sejauh 15 km dari Ulu Paku ke Ulu Kota (Betong), jalan sejauh 25 km dari Marudi ke Sungai Dehin termasuk Jambatan Sungai Tutoh (Miri) dan jalan sejauh 15 km dari Ulu Sebauh ke Sungai Genaan (Bintulu).

Mengenai program jalan penghubung, beliau berkata, jalan-jalan juga akan dibina di bawah program jalan penghubung negeri bagi meningkatkan rangkaian jalan sedia ada di negeri ini.
“Beberapa jalan baru dan dinaik taraf akan dijalankan di bawah program ini.

“Di bawah RMK9, sebanyak 124 projek merangkumi 117 projek-projek sambungan dan tujuh projek baru telah diluluskan untuk pelaksanaan.

Setakat ini, 74 daripadanya sudah sudah siap manakala selebihnya masih dalam pelaksanaan,” katanya.

Projek-projek besar sedang dijalankan ialah menaik taraf jalan akses ke Mukah dari simpang Jalan Sibu-Bintulu ke simpang Jalan Matadeng, menaik taraf fasa tiga Jalan Ulu Layar ke Ng Tiga (Betong), pembinaan jalan penghubung dari sempadan Malaysia-Indonesia ke Depo Kelulusan Pedalaman Tebedu, pembinaan jalan tepi sungai Semariang, pembinaan fasa satu Jalan Pakan/Ulu Julau/Ulu Kota dan penggantian jambatan majlis sementara di negeri ini

Wednesday, May 20, 2009

Sektor perumahan sumbang 3% KDNK Sarawak

19 Mei - Sektor perumahan dan binaan di Sarawak menyumbangkan tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri dengan jumlah pekerjaan 84,000 atau 8.8 peratus daripada jumlah tenaga kerja keseluruhan.

Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, sektor itu juga ada kaitan dengan 140 sektor lain yang bermakna ia mempunyai kesan positif kepada sektor berkaitan.

Menurutnya, kerancakan dalam aktiviti binaan mencerminkan kederasan pelaburan awam dan swasta dalam meningkatkan daya ekonomi tempatan.

"Kerancakan dalam sektor binaan dan perumahan adalah petunjuk kepada pertumbuhan ekonomi," katanya semasa ucapan penggulungan Kementerian Perumahan pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Abang Johari memberitahu, akibat kemelesetan ekonomi dan kewangan global, sektor binaan perumahan di Sarawak menurun 27 peratus tetapi harga rumah tidak berubah.

Katanya, kemerosotan sektor perumahan disebabkan permintaan lemah dan penurunan harga boleh dilihat sebagai usaha merancakkan jualan.

Bagaimanapun, tambahnya, pihak pemaju di negeri ini memaklumkan penurunan harga tidak dapat dilakukan kerana kos binaan masih tinggi.

"Tetapi pasaran rumah-rumah kos rendah dan sederhana masih stabil manakala jualan untuk rumah harga tinggi perlahan dan belum sampai ke tahap yang membimbangkan.
"Sebabnya, sektor perumahan di Sarawak tidak menghadapi masalah jualan yang teruk adalah kerana pelaksanaan konsep bina dan jual," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, masalah stok rumah tidak terjual dalam masa dua tahun selepas siap dibina belum menjadi satu gejala besar.

Jelasnya, jika dibandingkan harga jualan rumah di Sabah dan Semenanjung, rumah-rumah binaan swasta di Sarawak 20 hingga 40 peratus lebih rendah.

Berita Harian Online


Sidang DUN Sarawak: Kaji strategi kurang kos, bina rumah mesra
pembeli

Menteri Perumahan saran guna kaedah IBS, percepat binaan

Kajian semula mengenai tatacara dan strategi binaan perlu dilakukan bagi mengurangkan kos dan menentukan harga jualan rumah yang mesra pembeli di Sarawak.

Ini berikutan kos binaan yang tinggi dan keadaan jualan yang kurang cergas dalam sektor perumahan akibat kenaikan harga minyak sebelum ini dan disusuli krisis ekonomi global.

Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Openg, turut menyarankan supaya sektor perumahan menggunapakai kaedah 'Industrialised Building System' (IBS) bagi mengurangkan kos. IBS juga katanya, akan memendekkan jangka masa binaan, pemasangan juga mudah dan mengurangkan masalah tenaga kerja.

"Kita juga telah menyarankan kajian kepada reka bentuk 'rumah hijau' seperti ditetapkan dalam Indeks Bangunan Hijau (IBH), bagi mengurangkan kos binaan, tenaga kerja dan kos penyelenggaraan," katanya ketika menggulung perbahasan pada hari ketujuh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Beliau berkata, harga rumah swasta belum lagi menampakkan penurunan tahun ini walaupun harga minyak telah turun daripada AS147 setong kepada AS50 setong. Abang Johari berkata, ini disebabkan harga bahan binaan masih lagi tinggi, walaupun harga besi keluli telah turun daripada RM4,500 setan kepada RM2,100 setan k dan simen campuran turun daripada RM160 semeter padu kepada RM150 semeter padu.

"Bagaimanapun, bahan-bahan ini merangkumi hanya 30 peratus komponen binaan, dengan harga bahan binaan lain tidak turun," katanya sambil menambah kadar penurunan permintaan perumahan bagaimanapun belum menjurus ke tahap kritikal.

Beliau berkata, adalah juga penting bagi pemaju menghasilkan rumah berkualiti dan inovatif bagi merancakkan jualan bukan saja untuk pasaran tempatan, tetapi juga pasaran global.

Mengenai keperluan rumah di Sarawak, Abang Johari berkata, Sarawak kini memerlukan 15,000 unit rumah setiap tahun, namun hanya 7,000 unit rumah swasta dan 1,000 unit rumah awam dibina setiap tahun di negeri ini.

Katanya, menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua yang dilancarkan Mac lalu sejumlah RM100 juta dana Kerajaan Persekutuan telah diperuntukkan untuk membina 1,108 Rumah Mampu Milik (RMM) di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Bintulu, Mukah, Miri, Song dan Kanowit.

Abang Johari berkata, projek berkenaan yang akan dilancarkan bulan depan, dijangka siap pada penghujung 2010. Katanya, bagi Rumah Mesra Rakyat (RMR) pula, 1,000 unit rumah akan dibina di Sarawak oleh Syarikat Perumahan Negara Sdn Bhd (SPNB) bagi tahun 2009-2010.

Utusan Malaysia 19.05.2009

Tuesday, May 19, 2009

Sarawak: Tidak amal pilih kasih beri tanah

KERAJAAN tidak pernah bersikap pilih kasih pada mana-mana pemohon tanah di Sarawak, tidak mengira mereka ahli korporat, ahli politik atau rakyat biasa. Pada masa sama, kerajaan juga berhak memberi milik tanah kerajaan kepada sesiapa saja, termasuk ahli Yang Berhormat, asalkan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan.

Berikutan itu, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menyifatkan kenyataan wakil rakyat DAP, Voon Lee Shan (Adun Batu Lintang), berhubung isu berkenaan cuba mengelirukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan niat yang tidak baik.

Katanya, kerajaan menitikberatkan kemampuan syarikat dari segi kewangan dan pengetahuan teknikal sebelum memberikan tanah itu untuk tujuan komersial, perumahan dan perladangan, "Kerajaan juga meneliti rekod pencapaian syarikat, kesesuaian cadangan pemohon dengan kegunaan tanah dan perancangan kerajaan.

"Pendekatan ini bertujuan untuk menjamin pembangunan yang terkawal bagi memberi kesejahteraan kepada rakyat negeri ini," katanya ketika menggulung perbahasan pada hari keenam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Awang Tengah berkata, kerajaan tidak bermain dengan retorik atau slogan kosong, sebaliknya akan terus mendapatkan maklum balas daripada rakyat dalam usaha memantapkan dasar atau peruntukan undang-undang sedia ada.

Usaha itu, katanya, jelas menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam menggubal dasar pembangunan yang mampu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Sarawak: Pemeriksaan ladang babi diteruskan elak virus H1N1

Bahagian Veterinar, Jabatan Pertanian Sarawak (JPS), akan meneruskan pemeriksaan klinikal di semua ladang ternakan babi di seluruh negeri ini bagi mengesahkan haiwan berkenaan bebas dari jangkitan virus H1N1.

Pengarah Projek Bahagian Ternakan Babi, Dr Chin Vei Ching, berkata kira-kira 90 peratus daripada 150 ladang ternakan babi sudah menjalankan pemeriksaan dan ujian bagi memastikan ternakan bebas daripada wabak berkenaan.

Beliau berkata, kajian yang dilakukan di semua ladang berkenaan mendapati semua ladang ternakan dan haiwan ternakan bebas daripada wabak berbahaya itu.

"Kita akan terus memantau semua ladang babi di negeri ini, meskipun ujian dan pemeriksaan klinikal sudah dijalankan di ladang berkenaan sebelum ini.

"Langkah berterusan ini akan terus dilakukan bagi mencegah dan mengenal pasti ladang serta ternakan bebas daripada virus berkenaan. Ini bagi menjamin masyarakat di negeri ini bebas dari jangkitan virus berkenaan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Patologi Veterinar Malaysia, di sini, semalam.

Dr Chin yang juga Presiden Persatuan Veterinar Sarawak juga menjelaskan pihaknya menjalankan pemeriksaan pada ternakan itu di ladang masing-masing dan tidak memindahkan haiwan berkenaan seperti didakwa segelintir pihak.

Sehubungan itu, beliau berharap pemilik ladang terus memberi kerjasama bagi membolehkan ujian klinikal dijalankan. Terdahulu, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Datuk Jaul Samion berkata, kepakaran dalam bidang veterinar penting ketika wabak H1N1 melanda dunia bagi membendung penularan wabak itu selain mengelak penyebaran penyakit baru pada masa akan datang.

Sarawak: Kementerian lulus RM2.16b laksana projek luar bandar

KERAJAAN Pusat menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) meluluskan peruntukan sebanyak RM2.16 bilion untuk program dan projek luar bandar di negeri ini sehingga 30 April lalu.

Jumlah ini meliputi 19.6 peratus daripada keseluruhan peruntukan kementerian berkenaan untuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi pelaksanaan projek pembangunan luar bandar di seluruh negeri ini.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata daripada jumlah itu RM646.1 juta diperuntukkan bagi projek pembangunan luar bandar.

Katanya, sejumlah RM443.4 juta diperuntukkan bagi projek pembangunan prasarana, utiliti dan kemudahan sosial luar bandar, termasuk Projek Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Projek Jalan Kampung (PJK), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Projek Ameniti Sosial (PAMS) dan Lampu Jalan Kampung (LJK).

"Sebanyak RM46.8 juta pula diperuntukkan untuk melaksanakan projek pembasmian kemiskinan manakala baki RM155.9 juta adalah untuk projek pembangunan modal insan, ekonomi desa, pembangunan tanah dan wilayah serta pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada hari keenam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Mengenai program pembasmian kemiskinan, beliau berkata, KPLB dilantik oleh KKLBW selaku penyelaras Program Bantuan Rumah. Katanya, sejumlah RM103 juta diperuntukkan untuk program itu tahun ini dengan RM12 juta diperuntukkan oleh KKLBW, manakala RM91 juta daripada Pakej Rangsangan Ekonomi pertama.

Awang Tengah berkata, setakat 30 April lalu, KPLB meluluskan 2,573 projek dan semua projek berkenaan ditawarkan kepada 590 kontraktor Kelas F yang layak. "Daripada projek itu, 1,271 rumah akan dibina baru, manakala 1,102 rumah akan dibaik pulih dengan kos RM71.3 juta," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Sarawak mendapat sejumlah RM17.76 juta tahun ini, peningkatan 70 peratus berbanding RM10.41 juta tahun lalu. Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah RM12.92 juta adalah untuk pendidikan prasekolah iaitu tabika dan taska ke arah menyediakan kemudahan pembelajaran lebih kondusif.

"Setakat 30 April lalu, terdapat 15,718 kanak-kanak Tabika Kemas di Sarawak, dengan 747 guru terlatih yang dibantu 97 pembantu pemaju masyarakat.

"Seramai 484 kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun berdaftar di 40 taska di seluruh Sarawak yang dikendalikan 87 pemaju masyarakat terlatih," katanya.

Friday, May 15, 2009

176,000 naik pangkat

Berkuat kuasa 1 Julai ini, pegawai kumpulan sokongan yang berkhidmat 15 tahun atau lebih serta masih berada dalam gred lantikan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi.

Berucap pada perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2009 di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan beberapa skim perkhidmatan akan dinaik taraf juga mulai 1 Julai.

Kata beliau, langkah itu adalah sebagai menghargai sumbangan 176,066 pegawai kumpulan sokongan bagi perkhidmatan persekutuan.

Kerajaan juga, katanya, bersetuju menggubal dua skim perkhidmatan yang baru iaitu pegawai penyediaan makanan dan pembantu laut serta menaik taraf lapan skim perkhidmatan termasuk skim perkhidmatan operator mesin prosesan data, pembantu tadbir rendah (PTR) dan jaga.
‘‘Langkah itu akan melibatkan 20,637 penjawat awam. Keputusan kerajaan ini akan melibatkan kos tambahan sebanyak RM170.4 juta,” katanya.

Najib berkata, beliau yakin usaha yang diiringi keikhlasan demi menunaikan amanah kepada rakyat membolehkan perkhidmatan awam memberi perkhidmatan terbaik untuk negara.

‘‘Perkhidmatan awam mempunyai fungsi yang cukup signifikan dalam mencorakkan pembangunan negara dan usaha ini akan membawa negara megah di persada dunia,” katanya