Tiga kementerian akan bekerjasama mengenal pasti pendekatan dari sudut perundangan dalam menangani isu penyalahgunaan Internet di negara ini.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, selain kementerian beliau, ia turut membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen).
''Kami telah ditugaskan untuk melihat perkara itu dan perlu menyediakan satu pendekatan terbaik dalam menangani isu tersebut.
''Bagaimanapun ia bukan bermakna kerajaan akan mewujudkan elemen tapisan tetapi ia lebih kepada penguatkuasaan undang-undang terhadap mereka yang didapati melanggarnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, menyentuh konsep 1Malaysia, Rais berkata, semua lapisan masyarakat di negara ini diseru menjadikan gagasan itu sebagai amalan dan gaya hidup setiap hari.
Beliau berkata, seruan itu perlu sebagai usaha yang berterusan untuk menyemaikan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara.
''Kali ini kita mahu melihat supaya 1Malaysia dapat benar-benar dilanjutkan ke dalam cara hidup kita dan terjemahan ini seharusnya dapat kita zahirkan dari segi amalan setiap hari.
''Oleh itu kita mohon supaya setiap pejabat, rumah dan lain-lain institusi mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan ke-52," katanya.
Thursday, August 13, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment