Sarawak: Masalah kekurangan gula di Limbang, Lawas diatasi
Masalah kekurangan gula yang berlaku di dua daerah paling terpencil di Sarawak dan dipisahkan negara jiran Brunei iaitu Limbang dan Lawas, sudah dapat diatasi minggu lalu.
Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah, berkata bekalan gula sudah dihantar menggunakan kapal ke dua daerah berkenaan sekali gus mengakhiri masalah itu. Beliau berkata, sekarang kebanyakan premis perniagaan di Limbang dan Lawas mempunyai stok bekalan gula mencukupi untuk penduduknya.
“Tiada lagi masalah mendapatkan bekalan gula di Limbang dan Lawas. Orang ramai boleh memperoleh bekalan berkenaan di kedai runcit terdekat dengan kawasan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, bekalan gula berkenaan mencukupi untuk keperluan sehingga menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba. Hasbi berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai stok bekalan gula berkenaan dan tidak perlu membeli dalam kuantiti banyak.
“Jika semua orang membeli gula dalam kuantiti banyak sudah pasti ia akan mengakibatkan stok bekalan gula habis. “Justeru, tiada sebab untuk membeli gula untuk disimpan kerana ia akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau mahu supaya pegawai penguat kuasa kementerian berkaitan melakukan pemantauan lebih kerap terhadap harga barangan kawalan di daerah itu. Langkah itu, katanya, dapat mengelakkan peniaga melakukan penipuan dan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.
“Lagipun kebanyakan harga barangan yang dijual di Limbang dan Lawas lebih mahal jika dibandingkan dengan daerah lain di Sarawak,” katanya.
Bekalan beras di Sarawak cukup
Sarawak dijangka tidak akan mengalami sebarang masalah bekalan beras berikutan stok sedia ada yang bernilai RM100 juta mampu menampung permintaan penduduk yang dianggar memerlukan kira-kira 10,000 tan beras setiap bulan.
Berbeza dengan Semenanjung, pengguna di Sarawak menggunakan 65 peratus beras yang diimport dari Vietnam dan Thailand menjadikannya antara negeri di negara ini yang paling tinggi bergantung kepada beras import.
Namun dengan jumlah simpanan lebih 50,000 tan dan penghantaran stok baru menepati jadual setiap bulan, Beras Corporatian selaku wakil Padiberas Nasional Berhad (Bernas), menjamin pengguna akan mendapat bekalan sehingga hujung tahun depan.
Jumlah berkenaan belum lagi ditambah dengan pengeluaran beras dalam negeri yang dianggar berjumlah hampir 60,000 tan setahun yang kebanyakannya digunakan penduduk luar bandar. Ketua Pegawai Eksekutif Beras Corporation, Mohd Kamaluddin Mohd Effendie, berkata langkah menambah stok bekalan beras di Sarawak bagi menjamin dan melindungi pengguna dari masalah kekurangan stok seperti yang berlaku pada tahun lalu.
Katanya, pihaknya mendapat pengajaran apabila tidak bersedia menghadapi kenaikan harga beras dunia antara Mac hingga Jun tahun lalu yang menyaksikan harganya melebihi RM3,000 bagi setiap satu tan.
"Bayangkan harga semasa ketika itu sekitar RM1,500 melambung dua kali ganda menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos tinggi bagi memastikan bekalan terus dibawa masuk.
"Oleh itu Bernas bertindak memastikan bekalan dalam negeri mencukupi sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan kerana bimbang berlaku keadaan di luar jangkaan seperti serangan perosak padi dalam negeri," katanya kepada Berita Harian. Dianggarkan setiap pengguna di negeri ini memerlukan purata 82 kilogram beras setahun dengan jumlah beras dijual tahun lalu ialah 197,127 tan. Dari jumlah itu 137,641 atau 70 peratus adalah import sementara bakinya beras tempatan.
Bernas sentiasa mengutamakan keselamatan sumber makanan dengan di Kuching saja mereka ada tujuh gudang untuk menyimpan stok beras bernilai jutaan ringgit.
Selain di Kuching, Bernas turut mempunyai gudang simpanan beras di Sibu dan Bintulu selain mendapat kerjasama dengan pembekal di Limbang, Lawas dan Miri untuk menyimpan bekalan mereka di kawasan terbabit. Mengulas mengenai proses penghantaran beras ke kawasan pedalaman, Kamaluddin berkata, ia berjalan lancar namun harganya lebih mahal berbanding di bandar berikutan pemborong terpaksa menanggung kos pengangkutan.
Thursday, August 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment