'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Tuesday, March 18, 2008

20 pelajar universiti diserang penyakit HFMD

17 Mac – Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) kembali menular di Sarawak apabila hampir 20 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini disahkan menghidap penyakit berkenaan minggu lalu.

Menurut Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Pelajar Unimas, Dr. Zahara Abdul Manap, virus daripada jenis Entrovirus didapati merebak di beberapa hostel di universiti itu pada 10 Mac lepas.

Katanya, pelajar dalam lingkungan 20 hingga 21 tahun itu mengadu menghidap simptom HFMD seperti demam, ulser mulut dan jangkitan pada tangan.

‘‘Pihak universiti mengambil langkah awal setelah dimaklumkan mengenai perkara itu dengan mengenakan tahanan dalam hostel dan tidak membenarkan pelajar terbabit keluar daripada hostel untuk menerima rawatan daripada pegawai perubatan Unimas.

‘‘Selain itu, kita mengarahkan pelajar lain supaya lebih berhati-hati dengan mengurangkan aktiviti luar dan mengamalkan kebersihan diri dengan mengedar dan menampal poster mengenai langkah pencegahan penyakit tersebut,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zahara menjelaskan, virus Entrovirus merebak menerusi sentuhan, tangan yang tidak dicuci serta makanan yang dikongsi bersama pengidap HFMD dan ia tidak mempunyai komplikasi sampingan.

Katanya, setakat ini, perkembangan penyakit HFMD di Unimas tidak membimbangkan dan ibu bapa serta pelajar tidak perlu bimbang mengenai perkara itu.

Jelas beliau, pihak universiti telah merujuk perkara tersebut kepada Pejabat Kesihatan Negeri dan para pelajar diminta supaya tidak bimbang mengenai jangkitan penyakit itu kerana ia bukannya daripada virus EV71 yang berbahaya.

‘‘Keadaan 20 pelajar terbabit kini kembali normal ekoran langkah pencegahan awal yang diambil oleh pihak klinik dan pejabat kesihatan negeri.

‘‘Pihak universiti telah mengambil langkah perlu bagi mengelakkan penyakit tersebut merebak ke seluruh hostel di sini,’’ ujar beliau.

UNIMAS mempunyai seramai 6,590 penuntut yang mengambil pelbagai bidang pengajian di Kota Samarahan.

Jelas Zahara, setakat ini, seramai empat pelajar telah disahkan bebas sepenuhnya daripada penyakit itu dan jumlah itu mungkin bertambah.

‘‘Simptom Entrovirus mengambil masa lima hari untuk aktif dan pesakit yang menghidap penyakit tersebut akan sembuh dalam tempoh satu hingga dua minggu,’’ katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Unit Media Unimas, Ess Khamisa Mohamad Urei berkata, ibu bapa dan pelajar universiti tidak perlu bimbang mengenai HFMD di universiti itu.

Katanya, pihak universiti telah mengambil segala langkah yang perlu bagi menghalang penyakit tersebut terus merebak ke seluruh kawasan universiti.

‘‘Kita telah menjalankan kempen kesedaran di kalangan pelajar supaya menjaga kebersihan diri dan mengurangkan aktiviti-aktiviti luar yang boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Ess Khamisa memberitahu, keadaan kini telah kembali terkawal dan pihak universiti menunggu tempoh dua hingga tiga hari lagi untuk mengumumkan universiti itu bebas daripada virus HFMD.

Selain itu katanya, pihak Unimas juga mengarahkan pihak pentadbiran tadika Unimas yang mempunyai kira-kira 40 pelajar supaya diberikan cuti selama tiga hari sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Tambah beliau, ia perlu sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan pelajar yang terdiri daripada anak-anak kakitangan universiti itu dijangkiti virus tersebut.

No comments: