Harga sama dengan Semenanjung, beras dijamin cukup bagi tempoh tiga bulan setengah
Harga beras di Sarawak diseragamkan dengan negeri-negeri di Semenanjung termasuk Sabah bagi membolehkan masalah kekurangan beras tidak berlaku di negara ini.
Justeru, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bahawa bekalan beras di negeri ini mencukupi untuk tempoh tiga bulan setengah akan datang.
Menterinya, Datuk Mustapa Mohamad berkata, walaupun sebelum ini masalah kekurangan beras turut menular ke Sarawak namun pihak Beras Corporation Sdn Bhd (Bernas) telah bertungkus-lumus untuk menyelesaikan masalah itu.
“Kita telah membuat keputusan bahawa harga beras import mengikut peratusan telah diseragamkan termasuk Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia, “ katanya.
Bercakap pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Pemodenan Pertanian Sara-wak di sini semalam, Mustapa memberitahu harga seragam itu hanya tertakluk di bandar-bandar sahaja.
Beliau berkata, harga seragam beras di Sarawak hanya melibatkan empat bandar utama iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.
Bagaimanapun, katanya, harga beras di luar bandar terutama di kawasan pedalaman mungkin agak berbeza kerana tertakluk kepada kos pengangkutan.
“Kita percaya penyeragaman harga beras import itu tidak menimbulkan bebanan kepada pengguna.
“Malah, Bernas juga memberi jaminan bekalan mencukupi bagi keperluan penduduk negeri ini,” katanya.
Sementara Pengurus Besar Wilayah Bernas Corporation Sarawak, Mohd Kamaluddin Effendie memberitahu masalah kekurangan beras di negeri ini tidak serius kerana bekalan mencukupi.
Menurut Mohd Kamaluddin, masalah bekalan beras tidak sampai kepada pengguna hanya berlaku di luar bandar disebabkan kos penghantaran mengambil masa agak lama.
“Kita (Bernas) memberi jaminan bekalan beras mencukupi untuk keperluan penduduk negeri ini.
“Justeru, penduduk tidak perlu risau dengan masalah ke-kurangan beras, “ tegasnya.
Beliau menarik perhatian, Bernas juga mengambil tindakan drastik bersama Kerajaan Negeri dan Pusat untuk memastikan bekalan beras sampai kepada pengguna.
Malah, katanya, usaha mempertingkat pengeluaran beras juga dipergiatkan dan para pemborong dinasihatkan agar tidak melakukan penyelewengan terhadap pengguna.
Wednesday, June 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment