'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Thursday, May 21, 2009

RM3.678 bilion bina jalan di Sarawak

Sejumlah RM3.678 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pembinaan jalan raya di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9).

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, daripada jumlah itu, RM2.108 bilion akan disalurkan untuk projek jalan raya di bawah Kementerian Kerja Raya.

Manakala RM1.57 bilion lagi, katanya diperuntukkan untuk program jalan raya negeri yang diluluskan bagi pembangunan jalan raya di negeri ini.

“Setakat April tahun ini, kira-kira RM1.539 bilion telah dibelanjakan untuk Projek Jalan Persekutuan manakala RM901.49 juta untuk Projek Jalan Negeri.

“Saya amat yakin, pada penghujung RMK9, kita dapat menggunakan kebanyakan peruntukan yang diluluskan bagi projek jalan raya,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam berkata, di bawah RMK9 penekanan juga diberikan untuk menaik taraf jalan sedia ada bagi menyediakan sistem jalan yang berstandard tinggi dan lebih selamat.

“Keutamaan juga diberikan untuk meningkatkan jalan-jalan di kawasan trafik sibuk dan kawasan kerap kemalangan,” katanya.

Wong berkata, terdapat 68 projek diluluskan di bawah Program Jalan Persekutuan dalam RMK9 untuk dilaksanakan.

“Setakat ini, 38 projek sudah siap sementara yang lain masih berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan”.

Projek-projek besar sedang dalam pembinaan ialah pembinaan jalan akses ke pusat pentadbiran persekutuan yang dicadangakn di Rambungan dari Petra Jaya, pembinaan Jalan Bawang Assan/Seredang, pembinaan Jalan Kuala Balingian/Kuala Serupai (Bintulu), pembinaan jalan akses dari Tanjung Assam ke Kampung Keranji di Betong, pembinaan jalan akses dari Kota Samarahan ke Jalan Lubok Punggor/Lubok Trenggas/Gumpey di Samarahan, pembinaan jalan akses dari Awat Awat ke Punang di Lawas dan pembinaan jalan Long Teru ke Long Lama di Miri.

Menurut Wong lagi, antara projek menaik taraf ialah Jalan Kuching-Sibu yang dinaikkan taraf daripada jalan dua lorong menjadi empat lorong bagi jarak di antara simpang Jalan Jalau ke simpang Jalan Lapangan Terbang Sibu, kerja-kerja penambahbaikan jalan antara kilometer (km) 67 ke km 68 Jalan Kuching-Lundu sedang dijalankan, membaiki bahagian Bukit Genting di sepanjang Jalan Serian-Sri Aman, penambahbaikan jalan di Bukit Begunan dan menaik taraf Jalan Mambong-Sejingkat.

Beliau berkata, sebanyak tujuh jambatan kini masih dalam pembinaan iaitu Jambatan Pulau Batang Loba (Mukah), Jambatan Batang Belawai (Mukah), Jambatan Sungai Pelasan (Betong), Jambatan Batang Trusan (Limbang), Jambatan Batang Lawas (Limbang), Jambatan Sungai Menyan (Sibu) dan Jambatan Sungai Pedai (Sibu).

Bagi reka bentuk jalan baru, katanya jalan akses sejauh 19 km akan dibina dari Ng Nai ke Kampung Tanjung Mulong dan Kampung Bruit (Mukah), jalan akses sejauh 25 km dari Lawas ke Long Sukang (Limbang), jalan sejauh 15 km dari Ulu Paku ke Ulu Kota (Betong), jalan sejauh 25 km dari Marudi ke Sungai Dehin termasuk Jambatan Sungai Tutoh (Miri) dan jalan sejauh 15 km dari Ulu Sebauh ke Sungai Genaan (Bintulu).

Mengenai program jalan penghubung, beliau berkata, jalan-jalan juga akan dibina di bawah program jalan penghubung negeri bagi meningkatkan rangkaian jalan sedia ada di negeri ini.
“Beberapa jalan baru dan dinaik taraf akan dijalankan di bawah program ini.

“Di bawah RMK9, sebanyak 124 projek merangkumi 117 projek-projek sambungan dan tujuh projek baru telah diluluskan untuk pelaksanaan.

Setakat ini, 74 daripadanya sudah sudah siap manakala selebihnya masih dalam pelaksanaan,” katanya.

Projek-projek besar sedang dijalankan ialah menaik taraf jalan akses ke Mukah dari simpang Jalan Sibu-Bintulu ke simpang Jalan Matadeng, menaik taraf fasa tiga Jalan Ulu Layar ke Ng Tiga (Betong), pembinaan jalan penghubung dari sempadan Malaysia-Indonesia ke Depo Kelulusan Pedalaman Tebedu, pembinaan jalan tepi sungai Semariang, pembinaan fasa satu Jalan Pakan/Ulu Julau/Ulu Kota dan penggantian jambatan majlis sementara di negeri ini

No comments: