'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Thursday, April 15, 2010

Graduan disaran ceburi pertanian

Graduan politeknik di Sabah diingatkan supaya tidak terlalu memilih pekerjaan sebaliknya digalakkan menceburi bidang keusahawan termasuk sektor pertanian moden yang mampu memberi pendapatan lumayan.

Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah (gambar) berkata, antara bidang yang berpotensi untuk diterokai ialah pertanian dan penternakan moden dalam skala besar.

"Kedua-duanya boleh menjana pendapatan yang lumayan sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Jangan biarkan peluang-peluang seumpama ini diambil oleh orang lain sedangkan kita sendiri boleh melakukannya.

"Untuk itu kita harus melakukan transformasi pemikiran iaitu beranjak daripada sesuatu yang telah menjadi kelaziman kepada mencari suatu yang baru dalam memajukan diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis konvokesyen ke-14 Politeknik Kota Kinabalu di Sepanggar dekat sini hari ini.

Ahmadshah turut menasihatkan graduan terbabit supaya tidak terlalu memilih pekerjaan terutama dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak memberangsangkan ketika ini.

Katanya, negara ini tidak terkecuali menerima tempias dan keadaan itu menjadikan persaingan dalam pasaran kerja tempatan semakin sengit dan serba mencabar.

Untuk itu jelasnya, graduan perlu menyesuai dan memasarkan diri dengan cara memberi keyakinan kepada majikan bahawa mereka adalah yang terbaik dan berkualiti.

Beliau juga mahu mereka merebut peluang dalam program Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang membuka lembaran baru kepada anak-anak tempatan untuk turut menjayakan agenda pembangunan itu.

Ahmadshah yakin Politeknik Kota Kinabalu akan terus melahirkan penuntut yang mempunyai kemahiran dan daya keusahawanan yang tinggi.

"Dalam masa yang sama saya berharap masyarakat dapat menghapuskan persepsi bahawa sistem pengajian politeknik merupakan peluang kedua untuk para pelajar," katanya.

Terdahulu, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Mustafar Kamar Ujang berkata, seramai 1,794 graduan dari bidang kejuruteraan awam, mekanikal, elektrik, perdagangan dan hospitaliti menerima sijil dan diploma masing-masing pada konvokesyen kali ini.

Jelasnya, politeknik tersebut telah melahirkan 9,480 graduan sejak ditubuhkan 14 tahun lalu dan menjalin hubungan industri dengan 2,427 syarikat swasta dan agensi kerajaan di seluruh negara.

No comments: