'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Thursday, December 11, 2008

Nelayan Asing atau Nelayan Negara???

'Nelayan asing tunda pukat di kawasan kami'

Nelayan pesisir pantai yang berpangkalan di Belawai, Kuala Rajang dekat sini mendakwa pendapatan mereka terjejas apabila kapal nelayan laut dalam menunda pukat di luar zon yang dibenarkan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Belawai, Temrin Bustamam, 47, berkata, sebelum kedatangan kapal nelayan laut dalam yang dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing, beliau mampu meraih pendapatan RM4,000 sebulan.

Tetapi selepas kehadiran kapal-kapal nelayan asing sejak awal tahun ini, beliau terpaksa berpuas hati dengan hasil jualan ikan kira-kira RM1,500 sebulan.

''Hasil tangkapan kami menyusut apabila kapal laut dalam dikendalikan warga Thailand dilihat menunda pukat di kawasan pesisir, kawasan yang mereka dilarang berbuat demikian.

''Kami mahu pihak berkuasa melakukan sesuatu agar punca pendapatan nelayan tempatan tidak terjejas," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Kira-kira 140 kapal-kapal laut dalam kendalian nelayan warga asing, diberikan permit menangkap ikan di kawasan laut dalam atau Zon C dan C2.

Kapal yang diberikan permit untuk menangkap ikan di Zon C dibenarkan menangkap ikan apabila berada 13 batu nautika dari pantai manakala C2 hanya boleh menunda pukat di antara 30 batu nautika hingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Semua hasil tangkapan perlu didaratkan di Pelabuhan Perikanan Bersepadu Tanjung Manis (PPBTM) yang beroperasi di Bandar Baru Tanjung Manis (kira-kira 30 kilometer dari Belawai) sejak Januari tahun ini.

Kerajaan dikatakan terpaksa menggunakan khidmat nelayan warga asing sementara nelayan tempatan belum bersedia untuk meneroka laut dalam.

PNK Belawai mempunyai hampir 1,000 ahli.

Seorang nelayan tempatan, Sungki Suhaili, 51, mendakwa pernah beberapa kali terserempak kapal nelayan laut dalam menunda pukat di kawasan sembilan batu nautika.

Menurutnya, kapal yang bertanda C2 sering melakukan kegiatan itu antara pukul 12 tengah malam dan 2 pagi, sebelum mereka mendaratkan ikan di pelabuhan.

''Perkara ini jika dibiarkan berterusan dan tidak ada apa-apa tindakan dilakukan oleh pihak berkuasa, tidak mustahil kami nelayan tempatan susah hendak cari makan.

''Kami ada buat aduan kepada mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini, tetapi sehingga kini masih tidak ada apa-apa tindakan," katanya yang turut kecewa.

Kerana pukat hanyutnya koyak akibat dirempuh kapal nelayan asing ketika menangkap ikan di muara Sungai Belawai, tidak lama dahulu.

''Dengan kapal kecil yang digunakan nelayan pesisir adalah mustahil untuk mengejar mereka mendapatkan bayaran. Kapal mereka laju.

''Hendak catat nombor pendaftaran kapal memang susah dalam keadaan yang gelap," katanya.


Pencerobohan bukan bidang kuasa LKIM

Pencerobohan yang didakwa dilakukan kapal nelayan laut dalam warga asing di kawasan pesisir pantai bukan dalam bidang kuasa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengurus Besar LKIM Tanjung Manis, Untong Keri berkata, pihaknya hanya mempunyai peruntukan undang-undang terhadap kapal nelayan laut dalam ketika proses pendaratan ikan di Pelabuhan Perikanan Bersepadu Tanjung Manis (PPBTM).

Beliau menyarankan nelayan tempatan yang berpangkalan di Belawai menyalur maklumat tentang dakwaan itu kepada pihak seperti Jabatan Perikanan, polis marin atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

''Walaupun LKIM diberi tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir PPBTM, tetapi kuasa kami bukan menangkap atau mendenda kapal-kapal nelayan laut dalam apabila mereka menangkap ikan di zon tidak dibenarkan mereka berbuat demikian," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas mengenai sungutan nelayan pesisir pantai dari Belawai, kira-kira 30 kilometer dari Bandar Baru Tanjung Manis, yang mendakwa kapal-kapal laut dalam menangkap ikan di kawasan pesisir.

Menurut Untong lagi, agar tidak mengetepikan kemajuan nelayan tempatan, PPBTM turut menyediakan ponton-ponton khusus untuk mereka mendaratkan hasil tangkapan di situ.
''Tidak wujud soal nelayan pesisir dipinggirkan semata-mata kita mahu memajukan industri perikanan laut dalam.

''Mungkin nelayan dari Belawai lebih gemar mendaratkan ikan di jeti-jeti di kampung kerana jika pergi ke sini (PPBTM) kos minyak mereka akan bertambah kerana perjalanan yang agak jauh," jelas beliau.

Malahan hasil tangkapan di PPBTM dibeli dengan harga yang lebih rendah berbanding mereka sendiri menjual di kampung.

Untong berkata, setakat Oktober lepas, kapal nelayan laut dalam yang mendaratkan ikan di PPBTM ialah 147 buah.

''Jumlah ini merupakan peningkatan yang banyak berbanding hanya 11 buah ketika pelabuhan ini mula dibuka pada Januari tahun ini," katanya.

Dasar kerajaan memberi permit kepada kapal-kapal nelayan laut dalam yang menggunakan khidmat warga asing adalah bagi menampung kekurangan nelayan tempatan dalam sektor itu.
''Antara Januari hingga Oktober tahun ini pendaratan ikan yang direkodkan kita ialah sebanyak 12,143 tan.

''Pendaratan ikan yang kian bertambah, berikutan pertambahan kapal-kapal nelayan kendalian warga asing," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

PIhak LKIM patut lebih bertanggaungjawab. Jgn hanya kerana bukan bidang kuasa mereka, teruslah mereka lepas tangan. Sepatutnya LKIM dan agensi perikanan lain bekerjasama tangani masalah berikut. Kewibawaan pengurus besar LKIM sangat rendah seperti ambil jalan mudah berdasarkan penelasan di atas.