'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Monday, December 21, 2009

Perangi habis-habisan semua faktor penyebab rasuah

RAKYAT menuntut kerajaan memerangi rasuah secara habis-habisan. Ini terbukti apabila makmal rasuah merupakan antara makmal paling ramai dikunjungi oleh pengunjung pada hari terbuka Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) baru-baru ini.

Pelbagai cadangan diutarakan oleh pengunjung. Bahkan, ramai mencadangkan agar golongan "jerung" patut diberi tumpuan berbanding golongan "bilis". Bagi penulis, kedua-duanya perlu diperangi habis-habisan. Mereka adalah musuh nombor satu negara.

Untuk memerangi rasuah, terlebih dahulu kita perlu mengkaji apakah faktor utama seseorang melakukan rasuah. Pada hemat penulis, terdapat tiga faktor utama seseorang terlibat dengan gejala itu.

Pertama, peluang. Kedua, kewangan. Ketiga dan paling jarang diperkatakan ialah faktor rasional. Penulis akan mengupas satu persatu beserta dengan sembilan pendekatan yang diutarakan oleh pihak kerajaan.

Kalau dilihat kepada sembilan pendekatan tersebut, kebanyakannya tertumpu pada faktor peluang. Peluang di sini bermakna seseorang itu melakukan rasuah kerana berpeluang untuk melakukannya seperti mempunyai kuasa, pangkat dan wang ringgit. Umpamanya, pendekatan untuk memberhentikan sebarang surat sokongan atau "surat wahyu" merupakan satu cara untuk menutup peluang ini.

Penulis amat bersetuju dengan langkah sebegini kerana ia mampu membanteras sebarang penyelewengan melalui surat wahyu. Begitu juga melalui pendekatan mewujudkan Akta Parti Politik dan kajian mengenai dana politik, satu lagi langkah ke hadapan yang boleh menutup peluang penyelewengan yang melibatkan parti politik.

Pendekatan melindungi pengadu satu lagi cara untuk menutup peluang perasuah dan yang menerima rasuah agar mereka berasa "gerun" diperhatikan oleh rakyat yang berintegriti dan berani untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa kerana tidak mahu gejala ini berlaku di depan mata mereka.

Cadangan-cadangan lain seperti kontrak kerajaan didedahkan secara terperinci, menyediakan pangkalan data pesalah rasuah, mengenakan hukuman lebih berat dan penguatkuasaan yang lebih berkesan, lebih kepada menjamin ketelusan kerajaan memerangi rasuah secara undang-undang. Pendekatan-pendekatan ini lebih kepada penyelesaian secara umum.

Tidak ketinggalan mempercepatkan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah dalam tempoh setahun. Satu perkara yang amat menarik untuk diperkatakan. Pertama, pastinya rakyat amat menyokong cadangan ini. Bagi rakyat, lagi cepat kes pendakwaan, lagi bagus.

Tetapi sejauh manakah kekuatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) satu lagi perkara yang perlu dilihat secara mendalam. Di sini, keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan SPRM menyiasat saksi tanpa had waktu, pastinya memberi kemenangan moral kepada SPRM.

Seterusnya memudahkan mereka menyelesaikan sesuatu kes rasuah. Jika tidak, SPRM pastinya berada dalam keadaan 'tertekan' untuk menyelesaikan sesuatu kes rasuah dalam masa setahun.

Untuk memastikan SPRM tidak berada dalam keadaan tertekan di antara tuntutan rakyat dan prosedur yang ada, semua pihak perlu memberi kepercayaan sepenuhnya kepada SPRM.

Pada masa yang sama, pihak SPRM sendiri perlu memastikan persepsi rakyat terhadap mereka berada pada tahap paling memuaskan. Sebarang tuduhan dan asakan bertalutalu sejak akhir-akhir ini perlu ditangani secara berhemah. Tugas ini bakal dipikul oleh Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang baru, Datuk Abu Kassim Mohamed bermula tahun depan.

Bagi faktor kewangan, penulis berpendapat kerajaan perlu memastikan pendapatan rakyat berada pada tahap tinggi di samping memberi perhatian segera terhadap kes-kes rasuah yang melibatkan industri pembinaan yang dikategorikan sebagai berada pada tahap serius.

Kalau kita lihat kes-kes rasuah amatlah kurang sekali berlaku di kalangan negara-negara maju berbanding Malaysia adalah disebabkan oleh rakyatnya berpendapatan tinggi.

Maka, gagasan kerajaan untuk menjayakan model ekonomi baru agar rakyat memperolehi pendapatan tinggi merupakan satu penyelesaian jangka masa panjang dan perlu diusahakan secara gigih sekali.

Faktor rasional pula ialah seseorang yang melakukan rasuah memberi alasan bahawa rasuah yang dilakukannya sebenarnya bukanlah satu kesalahan. Oleh itu, mereka memberi pelbagai alasan untuk merasionalkan tindakan mereka.

Faktor ini paling sukar untuk ditangani berbanding faktor peluang dan faktor kewangan. Satu pendekatan yang cukup ampuh untuk memerangi rasuah disebabkan faktor ini ialah melalui pendidikan sejak kecil lagi.

Penulis ingin mencadangkan pendidikan mengenai rasuah diajar di peringkat sekolah rendah lagi sehinggalah peringkat universiti.

Selain itu, kempen-kempen berterusan seharusnya dilaksanakan agar dapat memupuk budaya membenci rasuah di kalangan rakyat. Jika budaya membenci rasuah dapat diterapkan di kalangan rakyat Malaysia seiring dengan pemahaman jelas tentang gejala rasuah, penulis berpendapat gejala ini dapat dikurangkan sehingga ke akar umbi.

Ini memerlukan komitmen semua pihak terutamanya iltizam dan keberanian politik oleh pihak kerajaan agar pesalah-pesalah rasuah dibawa ke muka pengadilan tidak kiralah mereka itu "jerung" atau "bilis".

Kejayaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ini secara holistik amatlah dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

PENULIS ialah Pensyarah KananKolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

No comments: