Sarawak menyasarkan pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera di negeri ini dapat dicapai menjelang 2030.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ketika ini masyarakat bumiputera di Sarawak hanya menguasai 19 peratus kepentingan ekonomi di negeri ini dan kebanyakannya adalah melalui syarikat milik kerajaan.
Justeru katanya, bagi meningkatkan kadar ekuiti korporat bumiputera sedia ada, usahawan yang terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) perlu memantapkan daya saing mereka untuk meneroka pasaran ekonomi global menerusi penyertaan dalam Gagasan Badan Ekonomi Masyarakat Bumiputera (Gabem) Sarawak.
''Gabem merupakan satu platform yang menyalurkan pandangan pragmatik bagi meningkatkan ekuiti bumiputera dalam ekonomi domestik dan global.
''Sehubungan itu, saya percaya pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dapat dicapai menjelang tahun 2030 kerana Gabem mampu mencari formula serta strategi jangka panjang yang efektif untuk melestarikan ekonomi bumiputera," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Gabem Negeri Sarawak, di Pusat Konvokesyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Pengerusi Gabem Kebangsaan, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II merangkap Pengerusi Gabem Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.
Abdul Taib yang juga Penaung Gabem Sarawak memberitahu, menerusi Gabem, beliau mahu melihat golongan profesional, ahli-ahli akademik serta individu-individu berketerampilan bekerjasama dalam menggembeling tenaga dan daya fikir bagi memantapkan ekonomi masyarakat bumiputera di negeri ini.
Katanya, penyatuan dan kerjasama itu akan memudahkan usahawan bumiputera di Sarawak dapat melangkah lebih maju ke hadapan seiring dengan kaum-kaum lain di Sarawak.
''Oleh itu, saya berharap Gabem akan mencipta satu pelan bersepadu yang akan menjadi garis panduan kepada kerjaan dalam merangka dasar-dasar ekonomi dengan mengambil kira kepentingan bumiputera.
''Pelan ini kelak akan bertindak sebagai satu mekanisme bagi mengerakkan ekonomi bumiputera secara tersusun dan terancang dalam menghasilkan kaum bumiputera yang mampu bersaing secara aktif," jelas beliau.
Sementara itu, Abdul Taib berkata, usahawan IKS di negeri ini digesa supaya merebut peluang dalam industri makanan halal dengan memperkembangkan pasaran bagi produk itu ke seluruh dunia.
Menurutnya, pasaran produk halal pada masa ini tidak lagi terbatas untuk negara-negara Islam sahaja malah turut berpotensi di negara-negara lain bukan Islam.
''Mungkin banyak pihak yang silap kerana berpendapat pasaran halal hanya terbatas untuk negara-negara Islam, hakikatnya tidak begitu kerana terdapat juga potensi pasaran di Eropah dan Asia," tambah beliau.
Thursday, December 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment