Kerajaan mampu mencapai sasaran belanjawan tahun 2010 walaupun laporan kewangan Petronas menunjukkan penurunan pada separuh tahun pertama 2009.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah diambil adalah melalui perbelanjaan berhemat bagi memastikan projek yang dirancang berjalan lancar.
"Kita masih lagi mampu mencapai sasaran belanjawan 2010 dengan perbelanjaan berhemat dan mencari sumber-sumber lain serta pengurangan subsidi secara berperingkat-peringkat," katanya di sini hari ini.
Katanya, kerajaan mempunyai pendekatan untuk menjamin pengurangan defisit sebanyak 5.6 peratus dan memastikan peruntukan yang disediakan tidak terjejas.
Dewan Rakyat semalam menolak usul penangguhan mesyuarat yang dibawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan Laporan Kewangan Petronas untuk separuh tahun pertama 2009.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usul itu ditolak kerana ia bukan suatu perkara yang perlu disegerakan.
Anwar dalam usulnya berkata, berdasarkan laporan tersebut, pendapatan Petronas bagi separuh masa pertama 2009 jatuh ketara mencecah RM58 bilion atau 37 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, ia menyebabkan Bajet 2010 yang sedang dipertimbangkan sekarang tidak lagi sesuai dengan mengambil kira kedudukan kewangan semasa Petronas.
Wednesday, December 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment