'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Monday, July 26, 2010

Usaha membasmi pusat biak Aedes perlu diperhebat

JUMLAH kematian yang meningkat akibat demam denggi di negara ini wajar diberi perhatian serius semua pihak. Ini bermakna tidak ada sesiapa pun yang boleh mengatakan usaha mencegah penyakit itu bukan tanggungjawab mereka. Statistik terbaru menunjukkan angka kematian 91 kes bagi tempoh tujuh bulan tahun ini berbanding 88 kematian sepanjang tahun lalu amat membimbangkan. Jumlah kes denggi yang direkodkan sejak Januari lalu pula adalah 26,927 kes, melebihi jumlah dicatatkan sepanjang tempoh sama tahun lalu iaitu 26,770 kes. Jika semua pihak tidak serius menanganinya angka kematian dan jumlah kes akan terus meningkat pada tahap serius menjelang akhir tahun ini.

Selain penyakit jantung, diabetes dan kanser antara pembunuh utama, demam denggi penyakit bawaan nyamuk Aedes jika tidak dikawal bakal termasuk dalam kategori itu. Malah, Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN ke-10 di Singapura baru-baru ini, turut memperakui kes demam denggi meningkat mendadak di rantau ini. Demam denggi tidak pernah mengenal mangsa. Pada 1 April lalu, kita dikejutkan dengan kehilangan pelawak terkenal tanah air, Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih dikenali dengan nama Din Beramboi akibat demam denggi berdarah. Kita tentunya tidak mahu mendengar berita sedih kematian ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan akibat penyakit itu. Mengenakan hukuman dan denda semata-mata tidak akan memberi kesan jika tidak ada kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit itu. Rakyat perlu sentiasa diingatkan betapa seriusnya penyakit itu dan usaha mencegahnya perlu dilakukan bermula dari rumah.

Sehubungan itu, langkah membasmi pusat pembiakan nyamuk Aedes perlu diperhebatkan. Ketika ini ada 26 kawasan panas dikenal pasti di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Sarawak. Sebahagian besar daripada kawasan terbabit adalah persekitaran kotor yang memudahkan Aedes membiak. Jika penduduk tidak melakukan sesuatu bagi membersihkan kawasan sekitar atau memusnahkan pusat pembiakan, peluang mereka menjadi mangsa seterusnya amat besar. Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani wabak itu, seperti gotong-royong dan semburan kabus atau fogging. Terbaru, Kementerian Kesihatan melantik, pelakon dan pengacara televisyen terkenal, Aznil Nawawi, sebagai ikon kempen kesedaran Jom Ganyang Aedes bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya demam denggi.

Kita mengharapkan semua usaha itu akan mendapat kerjasama daripada rakyat, khususnya penduduk di kawasan yang dikenal pasti. Ketika sama kerajaan juga perlu memastikan semua hospital dan pusat kesihatan seluruh negara memantau dan merawat pesakit demam denggi dengan teliti. Kita tidak mahu pesakit yang mahu mendapatkan rawatan di hospital diminta pulang sebelum mereka disahkan bebas dari penyakit itu. Kita tidak mahu sikap sambil lewa merawat penyakit itu, akan menyebabkan statistik kematian terus meningkat. Apapun, semua pihak perlu bekerjasama memastikan kawasan mereka bebas daripada menjadi pusat pembiakan nyamuk Aedes. Malang tidak berbau mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

No comments: