IKLAN along guna slogan ‘Kami bukan along, kami cuma nak tolong’ kelirukan orang ramai.
IKLAN along guna slogan ‘Kami bukan along, kami cuma nak tolong’ kelirukan orang ramai. Ceti haram guna slogan iklan perangkap peminjam
Pelbagai helah digunakan pemberi pinjaman wang haram atau along untuk mengaburi mata orang ramai agar terus meminjam wang daripada mereka di sebalik usaha kerajaan memperhebatkan kempen membanteras kegiatan itu.
Along yang dilihat seperti cacing kepanasan berikutan tindakan kerajaan itu turut meningkatkan kempen dengan menampal lebih banyak poster dan menaikkan kain rentang di merata ceruk tempat bagi memudahkan orang ramai menghubungi mereka.
Antara taktik lain, mereka menggunakan slogan Kami bukan along, kami cuma nak tolong yang pernah digunakan untuk iklan televisyen oleh Majlis Penggalakan Ekonomi Belia (MPEB) menerusi Kementerian Belia dan Sukan sekitar dua tahun lalu pada iklan mereka. Walaupun iklan MPEB berkenaan adalah untuk menggalakkan belia menjadi usahawan, ada pihak mengambil kesempatan menggunakan slogan sama untuk mengelirukan orang ramai.
Tinjauan Sentral di sekitar bandar raya ini mendapati banyak kain rentang digantung untuk mempromosikan perkhidmatan pinjaman wang along menggunakan slogan terbabit.
Apabila Sentral mendail satu nombor telefon yang tertera, terdengar suara seorang lelaki dengan pelat Cina menjawab dengan nada garang bertanyakan siapa dan tujuan menelefon.
Apa yang pasti, individu yang menjawab panggilan itu adalah orang perantaraan atau kaki along dan bukannya petugas atau pegawai MPEB.
Shahruddin Mutalib, 43, mendakwa dia sendiri hampir percaya bahawa iklan pinjaman wang itu adalah halal kerana keliru dengan slogan berkenaan yang satu ketika dulu amat popular digunakan agensi kerajaan terbabit.
Saya ada membuat perniagaan kecil-kecilan dan memerlukan modal tambahan untuk membesarkan perniagaan sebelum saya ternampak satu kain rentang menawarkan kemudahan pinjaman wang.
Oleh kerana ia menggunakan slogan Kami bukan along, kami cuma nak tolong, saya tidak menyangka ia adalah iklan along. Tetapi selepas menelefon nombor tertera, barulah saya sedar mereka bukan mewakili mana-mana agensi kerajaan," katanya.
Beliau berkata, pasti ramai lagi terpedaya dengan iklan terbabit namun beliau bersyukur kerana terlepas jerat along kerana beliau terus memutuskan panggilan telefon selepas menyedari nombor yang dihubungi itu adalah kaki along.
Zainur Abdul Razak, 30, pula mendakwa ada beberapa rakan hampir terpedaya dengan iklan along itu tetapi sempat membatalkan niat untuk meminjam wang selepas menyedari ia hanya satu taktik.
Kebanyakan mereka tidak menyangka ia iklan along, namun selepas menghubungi nombor telefon pada iklan itu, barulah tahu ia adalah kerja along yang cuba mengelirukan orang ramai.
Saya harap pihak berkuasa memantau perkara ini kerana along dilihat semakin bijak menggunakan pelbagai taktik untuk menarik perhatian orang ramai menggunakan khidmat mereka, katanya.
Monday, July 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment