Sebelas rumah nelayan di Kampung Pasir Pandak di Santubong dekat sini yang berisiko tinggi mengalami hakisan pantai kini dalam keadaan berjaga-jaga ekoran fenomena air pasang besar dan ombak ganas semakin buruk sejak akhir-akhir ini.
Dalam kejadian air pasang besar mencecah ketinggian 6.3 meter pada pukul 5 petang semalam, beberapa rumah telah dimasuki air malah keadaan bertambah buruk apabila air ombak mula memasuki rumah menerusi tingkap.
Keadaan yang paling teruk akibat fenomena tersebut adalah rumah program pembangunan rakyat termiskin (PPRT) yang didiami seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya di mana air memasuki rumahnya sehingga ke paras buku lali kaki.
Habsah Mondon, 43, berkata, air ombak bukan sahaja memasuki menerusi celah pintu tetapi turut masuk menerusi tingkap rumah yang tingginya kira-kira dua meter dari tapak rumahnya.
Menurutnya yang sudah enam tahun menetap di situ, sebelum ini dia tidak menyangka perkara itu akan berlaku memandangkan jarak rumahnya dengan laut ketika itu kira-kira 100 meter dan perkara seumpama itu tidak pernah berlaku sehingga tahun lalu.
‘‘Setahun yang lalu, air pasang besar dan ombak ganas mula melanda menyebabkan keadaan menjadi buruk malah tebing di belakang rumah mulai terhakis.
‘‘Saya tidak mampu berbuat apa- apa, cuma apa yang saya boleh lakukan adalah menimba air keluar apabila keadaan air laut mulai surut,” katanya yang kematian suami sejak dua tahun lalu kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Pandak, Mahdi Rusli, 60, berkata, air pasang dijangka lebih tinggi dan penduduk terbabit telah bergotong-royong membina benteng guni berisi pasir bagi menghalang ombak.
Menurutnya, keadaan akan bertambah buruk pada penghujung tahun ini apabila air pasang besar dijangka berlaku ketika itu dan sudah pasti rumah-rumah yang terlibat pada masa ini, akan berdepan dengan risiko dipukul ombak ganas.
‘‘Saya minta penduduk yang terbabit mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Mahdi berkata, pihaknya telah memohon kepada kerajaan supaya sebuah benteng sepanjang 170 meter dibina di sepanjang pantai di kampung terbabit bagi menangani masalah yang menimpa penduduk kampung setiap kali air pasang besar itu.
Seorang lagi mangsa fenomena tersebut, Japeri Saat, 39, berkata, masalah hakisan dan ancaman gelombang sudah sekian lama menghantui penduduk Kampung Pasir Pandak kerana ia sering menyebabkan kemusnahan.
‘‘Sebelum ini, hampir setiap tahun ada sahaja penduduk yang berpindah apabila tiba musim tengkujuh kerana rumah mereka musnah dipukul ombak,” katanya.
Beliau menambah, walaupun penduduk mengambil langkah membuat benteng sendiri menggunakan guni berisi pasir, namun ia tidak mampu menghalang pukulan ombak ganas di ketika air pasang besar itu.
Bagi Mohammad Latif, 39, penduduk kampung berkenaan yang majoritinya nelayan akan berserah kepada nasib setiap kali tiba musim tengkujuh kerana benteng yang dibina sendiri itu biasanya akan roboh dipukul gelombang.
Tambahnya, ombak di kawasan ini besar sehingga boleh mencecah setinggi 150 sentimeter dan ini membahayakan jika disertai angin kencang dan tiada benteng dibina untuk menghalangnya.
Friday, November 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment