'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Wednesday, November 5, 2008

Pakej kesejahteraan rakyat rakyat

Najib Tun Razak ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009 bagi pihak Kementerian Kewangan di Parlimen

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM7 bilion daripada penjimatan subsidi minyak untuk membiayai pelbagai langkah tambahan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi suasana ekonomi global yang semakin getir.

Menggulung perbahasan Bajet 2009 Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Rakyat, Timbalan Perdana Menteri menegaskan, langkah tambahan itu yang meliputi projek rumah rakyat hingga pendidikan prasekolah sebagai tanda dan bukti kerajaan amat prihatin tentang kesejahteraan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sedar bahawa langkah-langkah tambahan biasanya tidak diumumkan dalam ucapan penggulungan dan mungkin merupakan tindakan yang tidak pernah berlaku tetapi 'ini perlu dalam suasana global yang semakin getir'.

Menurutnya, perubahan perkembangan ekonomi global yang mendadak sejak akhir-akhir ini memerlukan kerajaan mengambil tindakan proaktif untuk menangani kesan daripada krisis global ini.
"Keadaan yang luar biasa memerlukan tindakan yang juga luar biasa," katanya.

Dalam ucapannya itu yang beberapa kali terganggu sehingga akhirnya ahli-ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan, Najib menegaskan, kerajaan akan terus mengamalkan dasar yang bersifat mengembang, bukan menguncup seperti bajet alternatif pembangkang.

''Ketika ekonomi dunia menguncup, langkah yang tepat ialah menyuntik dana tambahan agar ekonomi tidak mengalami kemelesetan. sebaliknya boleh terus mengembang.

"Inilah perbezaan yang amat ketara antara cadangan bernas kerajaan dan cadangan hampas pihak pembangkang," katanya merujuk bajet alternatif pembangkang yang mencadangkan potongan RM24 bilion daripada jumlah Bajet 2009.

Untuk itu, menurut Najib, kerajaan akan menyemak semula projek-projek dengan tujuan memberi keutamaan kepada projek yang boleh dilaksanakan segera serta mempunyai kesan pengganda tinggi dan kandungan import rendah.

Jelasnya, dasar itu akan dilaksanakan tanpa menjejaskan jumlah perbelanjaan pembangunan yang telah diperuntukan bagi tahun 2009 sebelum ini.

"Sebagai contoh, kerajaan telah menangguhkan pembelian helikopter untuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri, supaya penjimatan ini boleh digunakan bagi projek pembangunan lain," tambah Najib.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penjimatan RM7 bilion itu merupakan suatu rahmat untuk diagihkan kepada rakyat di samping dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang akan memberi kesan positif antara lain dalam sektor pembinaan, perumahan, pengangkutan, pelaburan, latihan dan teknologi maklumat.

Dalam usaha untuk melaksanakan pelbagai langkah tambahan itu secara pantas, katanya, kerajaan akan menubuhkan Unit Pengurusan Projek di bawah Kementerian Kewangan bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan projek kritikal dan berimpak tinggi, ke arah memastikan pelaksanaan yang cekap dan berkesan.

Najib menjelaskan, tumpuan akan diberi bagi projek yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi serta kritikal bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan juga tambah beliau, bercadang untuk memaksimumkan pulangan daripada semua aset sedia ada termasuk tanah-tanah yang belum dibangunkan lagi bagi menjana pendapatan tambahan dan mencetuskan kegiatan ekonomi tempatan yang lebih rancak.

Beliau yang menyeru semua rakyat untuk sama-sama menyumbang ke arah memastikan krisis ekonomi global ditangani dengan jayanya, berkata, semua pihak perlu belajar daripada pengalaman lalu.

Tegas Timbalan Perdana Menteri: "Sebesar mana dan setinggi mana pun rempuhan badai kemelesetan ekonomi dunia, akan kita hadapi dengan persiapan rapi. Benteng pertahanan kita wajar semakin tegap dengan sokongan akrab dan dokongan mantap semua pihak."

No comments: