Pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion yang diumumkan awal bulan ini akan dipastikan mula dilaksanakan menjelang suku pertama tahun depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dan tahun depan mampu dicapai meskipun krisis kewangan global bertambah buruk berbanding ramalan awalnya.
Malaysia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.5 peratus pada tahun ini dan 3.5 peratus pada tahun depan.
''Untuk mencapai sasaran tersebut, kita harus memastikan permintaan domestik terus kukuh,'' katanya yang juga Menteri Kewangan.
Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Kelima di sini hari ini.
Beliau menambah, Malaysia sentiasa mengamalkan dasar terbuka ke arah melaksanakan langkah tambahan bagi merangsangkan perkembangan ekonomi semasa.
''Seperti yang anda ketahui, kita mengambil sikap terbuka dari semasa ke semasa, pada masa yang sama, kami juga sentiasa memerhatikan dan memantau keadaan dengan berhati-hati dan teliti,'' katanya.
Najib menjelaskan, untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi itu, kemudahan kredit yang disediakan oleh bank kepada syarikat tempatan termasuk kepada industri kecil dan sederhana (IKS) juga perlu kukuh.
''Pada masa yang sama, kita perlu lihat kepada keperluan garis panduan domestik yang perlu di liberalisasi dan diperkemaskan bagi memudahkan usahawan tempatan dan asing menjalankan perniagaan di negara ini,'' ujarnya.
Ditanya sama ada kerajaan bercadang melonggarkan lagi syarat penyenaraian ke Bursa Malaysia bagi syarikat yang mempunyai penyertaan ekuiti bumiputera kurang 30 peratus, beliau berkata, setakat ini, tiada pengumuman terbaru mengenainya dan apa yang jadi tumpuan pengumumannya baru-baru ini.
''Kami sentiasa terbuka (kepada setiap permohonan) tetapi seperti mana yang saya katakan tadi, ia akan dilakukan berdasarkan kepada liberalisasi pada tahap yang dirasakan selesa,'' jelasnya.
Menurut Najib, langkah itu bertujuan memastikan pasaran pelaburan modal kerajaan kekal progresif dan kompetitif.
Ditanya mengapa hanya sekarang pendekatan itu diperkenalkan dan adakah ia berasaskan kepada usaha kerajaan untuk menghadapi krisis kewangan global atau langkah tersebut bakal diumumkan kerajaan pada masa depan, beliau berkata, perkara itu telah lama dipertimbangkan.
''Secara perlahan-lahan kita akan mempertimbangkannya,'' tambah beliau
Wednesday, November 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment