Krisis kewangan yang melanda dunia ketika ini dijangka tidak menghalang kemasukan pelaburan bagi pembangunan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (Score).
Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, sehingga kini Sarawak masih belum menerima sebarang kesan ekoran masalah kelembapan ekonomi dunia itu namun menjangkakan pengaruhnya selepas tiga atau enam bulan akan datang.
Menurutnya, ini kerana krisis kewangan dunia itu tidak membabitkan negeri ini secara langsung bagaimanapun mungkin tempias kesannya akan dirasai tetapi bukan secara serta merta.
''Walaupun keadaan ekonomi dunia mengalami krisis, namun ekonomi Sarawak dalam keadaan baik, mungkin ia (krisis kewangan) berlaku di kawasan-kawasan yang lain.
''Selain itu, kita yakin pelabur akan terus melakukan pelaburan di Score malah pada masa ini pembangunan wilayah tersebut telah menerima pelaburan daripada para pelabur China, Singapura dan Jepun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan ekonomi Sarawak dan Score sama ada telah terjejas selepas krisis kewangan melanda dunia pada ketika ini.
Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada beliau akan mencalonkan diri dalam mana-mana jawatan tertinggi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) pada Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC), Soon Koh memberitahu, beliau memutuskan biar ahli di peringkat akar umbi yang bersidang menentukan kedudukannya.
Beliau yang kini Timbalan Setiausaha Agung SUPP turut menafikan desas-desus namanya disebut-sebut untuk dicalonkan ke jawatan nombor dua parti.
Katanya, kedudukannya dalam parti adalah terpulang kepada suara pemimpin tertinggi, delegasi serta akar umbi yang akan bersidang pada 13 dan 14 Disember ini.
''Kita mempunyai tradisi sendiri dalam memilih pemimpin-pemimpin utama dalam parti, dan saya tidak fikir TDC akan datang mencetuskan ketegangan atau 'panas' malah ia akan berjalan dengan lancar seperti biasa," ujarnya.
Thursday, October 23, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment