Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili lebih 500,000 pekerja di negara ini meminta kerajaan memansuhkan lesen yang diberikan kepada 226 syarikat dan ejen pengambilan pekerja asing tempatan bagi mengawal kebanjiran tenaga asing yang semakin membimbangkan di negara ini.
Setiausaha Agung MTUC, G Rajasekaran, berkata dalam tempoh 10 bulan tahun ini, pihaknya menerima lebih 2,000 aduan daripada pekerja asing yang mendakwa ditipu ejen dan tindakan itu membawa imej yang buruk kepada negara.
Beliau berkata, antara aduan yang kerap MTUC terima daripada pekerja asing sejak kebelakangan ini ialah mereka tidak mendapat pekerjaan seperti yang dijanjikan oleh ejen, malah kebajikan turut diabaikan.
“Ada pekerja asing mendakwa mereka hanya sempat bekerja untuk tempoh singkat iaitu selama satu bulan atau dua bulan, dan terpaksa mencari pekerjaan baru. Ada segelintir pula mendakwa mereka diberikan wang saku sebanyak RM40 hingga RM50 oleh ejen sebelum mendapat kerja baru.
“Segelintir pekerja asing pula tidak tahu siapa ejen mereka sebenarnya.
Ejen tidak seharusnya terlalu ‘ghairah’ dalam membawa terlalu banyak pekerja asing melebihi keperluan sebenar kerana risau ia akan menjejaskan nama baik negara.
“Apabila semua pekerja ini pulang ke negara asal masing-masing, mereka tidak akan berkata mereka ditipu ejen, sebaliknya Malaysia sudah menipu mereka. Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku dan membawa imej buruk kepada industri tenaga kerja tempatan,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Rajasekaran berkata, majikan yang memerlukan pekerja asing perlu melalui Jabatan Imigresen seperti yang dilakukan sebelum ini dan menyatakan jumlah tenaga kerja yang diperlukan kepada pihak berkuasa.
“Melalui cara itu, MTUC percaya pelbagai masalah dapat diselesaikan kerana sebelum meluluskan permohonan majikan, Jabatan Imigresen sudah tentu akan meneliti beberapa perkara termasuk tujuan kemasukan mereka sebelum meluluskan pengambilan pekerja asing.
“Selain itu, majikan juga perlu merujuk kepada Jabatan Tenaga Buruh dan menyatakan mengapa mereka mahu mengambil pekerja asing dan kenapa tidak mengutamakan sesuatu pekerjaan itu kepada rakyat negara ini.
Sekiranya jabatan berkenaan berpuas hati dengan penjelasan majikan, mereka boleh meneruskan hasrat mereka,’’ katanya. Katanya, kemasukan pekerja asing melalui Jabatan Imigresen dan Jabatan Buruh, MTUC percaya kerajaan akan menetapkan kuota pengambilan tenaga asing bagi mengelak lebih ramai pekerja asing ‘terkandas’ di negara ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment