'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Friday, July 3, 2009

Jangan batalkan RWMF: Manyin

Festival yang menjadi ikon Sarawak boleh menjejaskan industri pelancongan dan penerbangan negeri ini jika ianya dibatalkan

Industri penerbangan dan pelancongan negeri ini boleh terjejas jika Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2009 dibatalkan, kata Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan Datuk Micheal Manyin Jawong.

Justeru beliau menegaskan festival yang menjadi ikon kepada Sarawak itu tetap berlangsung seperti dijadualkan meskipun berlaku penularan wabak Influenza A (H1N1) atau turut dikenali sebagai selesema babi.

“Anda jangan terlalu panik dengan wabak H1N1.

“Mungkin kita kadang-kala menunjukkan reaksi yang keterlaluan dan menakutkan orang ramai. Akibatnya kita boleh melumpuhkan industri penerbangan dan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Larry Sng, Pengerusi BCCK, Datuk Raziah Mahmud, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Pelancongan, Datu Ose Murang dan Pengarah Eksekutif, Dr Mohamadon Abdullah.

Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tebedu turut menjelaskan kesemua persediaan di Kampung Budaya Sarawak sudahpun berjalan dengan lancar.

Setakat hari ini (semalam) katanya, segala urusan tempahan tiket dan penginapan tidak terjejas malah kesemua bilik hotel di sekitar bandar raya telah penuh ditempah.

Mengulas mengenai cadangan Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam Negeri yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan menyarankan agar rakyat Sarawak yang berada di negara terjejas dengan wabak itu menangguhkan kepulangan ke negeri ini buat sementara waktu, Manyin berkata usaha itu merupakan langkah berjaga-jaga dari kerajaan bagi menangani penularan wabak berkenaan.

Dalam pada itu, Manyin yakin bahawa jumlah kedatangan pengunjung RWMF tahun ini akan melebihi bilangan tahun lepas.

“Tahun lepas seramai 22,000 pengunjung dari serata dunia datang ke sini, manakala tahun ini saya percaya lebih ramai lagi peminat akan berkunjung,” ujarnya lagi.

Ketika diminta mengulas sama ada pengunjung antarabangsa perlu menjalani saringan pemeriksaan di hotel, Manyin berkata kerajaan belum bercadang berbuat demikian.

Ini kerana menurutnya, saringan kesihatan ke atas artis atau pengunjung antarabangsa akan bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Tiada apa-apa makna kita melakukan pemeriksaan kesihatan di hotel. Ia mesti dilakukan di lapangan terbang,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Isnin lepas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Gracie Geikie memberitahu sebuah stesen perubatan mini yang menempatkan kakitangan perubatan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan dibina di Kampung Budaya Sarawak sepanjang berlangsungnya Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) ke-12, bermula 10 hingga 12 Julai ini.

Katanya, pembukaan stesen perubatan mini itu adalah sebagai sebahagian daripada usaha mengelak penularan wabak Influenza A (H1N1) di situ.

“Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2009 akan diteruskan walaupun berlaku penularan wabak Influenza A (H1N1) melainkan diarah untuk membatalkannya,” katanya.

No comments: