Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), institusi pelaburan baru dengan modal permulaan RM500 juta dan sasaran dana sehingga RM10 bilion.
Ia akan menjadi satu instrumen untuk meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera, fungsi yang gagal dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) sehingga menyebabkan ia tidak berganjak daripada paras 19 peratus selama 19 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun berkata, Ekuinas berbeza dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang memberi tumpuan kepada pelaburan saham amanah.
Sebaliknya, kata beliau, ia adalah dana ekuiti swasta yang akan menumpukan pelaburan di dalam sektor-sektor berpotensi mengalami pertumbuhan tinggi – pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, minyak dan gas serta bioteknologi.
Perdana Menteri berkata, penubuhan Ekuinas adalah sebahagian daripada pendekatan baru kerajaan untuk memastikan penyertaan bumiputera yang bermakna dan efektif.
“Sehingga hari ini, jumlah penguasaan ekuiti bumiputera hanya sekitar 19.4 peratus, masih jauh ketinggalan berbanding sasaran awal sebanyak 30 peratus.
“Jadi kita ganti FIC dengan satu instrumen baru iaitu Ekuinas yang akan memberi tumpuan untuk meningkatkan pelaburan syarikat bumiputera yang berpotensi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2009 di sini hari ini. Persidangan itu dihadiri lebih 1,000 pengurus dana dan pemimpin korporat.
Pada 1990, ekuiti bumiputera berada pada tahap 19.3 peratus dan ia hanya meningkat kepada 19.4 peratus pada 2006 yang kekal sehinggalah ke hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, Ekuinas akan melabur secara bersama dengan dana swasta lain bagi menggalakkan perkongsian tulen dan pendekatan komersial sepenuhnya.
“Justeru penyertaan bumiputera menerusi Ekuinas akan dibuat berasaskan merit,” tegasnya.
Menurut Najib yang juga Menteri Kewangan, sejak 1970, keupayaan profesional bumiputera semakin meningkat dan mereka kini berminat menyumbang serta bersaing secara aktif dalam pekerjaan, pengurusan juga sebagai vendor.
“Kita berharap menerusi pelaburan dana seperti Ekuinas, bumiputera yang berpotensi serta berkemampuan baik akan disokong dan dibantu,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan akan menyediakan dana dan melantik pakar untuk menguruskan Ekuinas tidak lama lagi.
Bercakap pada sidang akhbarnya, Perdana Menteri menjelaskan matlamat 30 peratus penyertaan bumiputera dalam pertumbuhan dan pengagihan ekonomi negara masih kekal walaupun syarat pegangan ekuiti dalam syarikat tersenarai oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dimansuhkan.
“Apa yang berbeza, kita menganggap (penyertaan 30 peratus bumiputera) ini sebagai sasaran makro. Kita masih komited mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan keadilan sosial.
“Apa yang penting, kita tidak mahu sesiapa pun merasa dipinggirkan atau tidak diberi perhatian,” katanya.
Najib berkata, tumpuan kini adalah penyertaan menyeluruh bumiputera dalam semua aspek dan tidak terhad kepada pegangan ekuiti semata-mata.
No comments:
Post a Comment