'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Thursday, July 2, 2009

Tingkat penyertaan ekonomi Bumiputera

LANGKAH meliberalisasi Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan penubuhan sebuah institusi pelaburan baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, dijangka mampu melonjak pertumbuhan ekonomi negara dan pada masa sama bukan saja dapat terus melindungi kepentingan Bumiputera malah meningkatkan penyertaan mereka dalam sektor korporat. Sekali gus langkah itu mewujudkan situasi menang-menang kepada pihak berkepentingan. Ia memberi kemenangan kepada pelabur Bumiputera dan bukan Bumiputera serta pelabur asing. Sebelum ini, ramai pelabur Bumiputera bimbang peluang mereka melabur dalam pasaran ekuiti akan terjejas apabila syarat 30 peratus ekuiti yang perlu diperuntukkan kepada mereka untuk syarikat yang hendak disenaraikan, seperti yang dikehendaki di bawah peraturan FIC, dimansuhkan.

Pelabur asing dan bukan Bumiputera pula mendapati peraturan terbabit sebagai kekangan akibat kesukaran mendapat penyertaan Bumiputera kerana kekurangan modal atau jika ada yang mampu, mereka tidak dapat bertahan lama. Dalam banyak kes, mereka terpaksa melupuskan pegangan itu sama ada untuk melangsaikan hutang atau meraih keuntungan segera.

Kesan menyeluruh daripada fenomena ini ialah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia kehilangan daya tarikan sebagai pusat pelaburan sementara hasrat murni kerajaan untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat tidak juga tercapai. Walaupun wujud faktor lain yang menyebabkan kemerosotan pelaburan asing sejak kebelakangan ini, peraturan FIC itu dikenal pasti sebagai sebahagian daripada puncanya.

Dari segi pencapaian ekuiti Bumiputera pula, walaupun ketika penubuhannya pada 1974 FIC adalah satu-satunya instrumen penting untuk mencapai matlamat berkenaan di bawah strategi penggalakan pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang adil, kini ia tidak lagi berkesan.

Sebagai contoh, peratusan ekuiti Bumiputera sejak 1990 hingga 2006 tidak berubah dengan masing-masing berada pada tahap 19.3 dan 19.4 peratus. Daripada RM54 bilion ekuiti yang diagihkan kepada Bumiputera di bawah FIC pula, hanya RM2 bilion yang masih kekal dan selebihnya dijual semula.

Peredaran zaman dan perubahan suasana ekonomi dunia yang kini lebih kompetitif dan mencabar juga mengubah keadaan. Sebagai contoh, ketika peraturan itu diperkenalkan dulu, ekuiti Bumiputera hanya berada pada tahap 2.4 peratus.

Berdasarkan kepada jumlah yang kecil itu, peraturan berkenaan didapati sesuai untuk dilaksanakan bagi menangani ketidakseimbangan. Ketika itu juga, langkah berkenaan didapati praktikal kerana kurangnya persaingan bagi mendapat pelaburan.

Tetapi kini, ia mewujudkan ketidaktentuan dan tidak lagi selaras dengan amalan antarabangsa. Dengan itu, ia menjejaskan potensi pertumbuhan sedangkan dasar kerajaan untuk menjamin pengagihan yang adil bergantung rapat kepada pertumbuhan mapan. Satu hakikat yang perlu diakui ialah tidak akan ada pengagihan tanpa pertumbuhan. Ini ialah kerana dasar kerajaan sejak merdeka ialah untuk membesarkan kek ekonomi supaya ia dapat diagihkan dengan adil kepada semua golongan. Pengagihan kek yang mengecil akan hanya berakhir dengan perampasan hak golongan yang lain. Ini tidak pernah dilakukan di negara ini.

Di samping itu, pertumbuhan juga penting untuk memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui model ekonomi baru yang sedang dirumuskan. Adalah jelas bahawa FIC yang satu ketika dulu berjaya memenuhi keperluan dasar kerajaan, kini sudah menjadi satu instrumen yang tumpul dan tidak mampu mencapai matlamatnya.

Sesuatu yang tumpul tentu perlu digantikan dengan sesuatu yang lebih tajam. Sebenarnya, perkara ini dan hal-hal yang berkaitan dengannya sudah lama difikir dan dibahaskan di peringkat kerajaan. Setelah diperhalusi dengan mendalam, kelmarin Najib mengumumkan pendekatan beliau yang dikira cukup inovatif dan berani.

Dalam ucaptamanya di Persidangan Invest Malaysia 2009 di Kuala Lumpur, Perdana Menteri mengumumkan bahawa berkuatkuasa serta merta, perkara berikut akan dilaksanakan:

- Pemansuhan syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi tawaran awal permulaan (IPO) ke atas syarikat tersenarai;
- Pemberhentian proses urus niaga hartanah oleh FIC kecuali yang membabitkan pencairan kepentingan Bumiputera atau kerajaan;
- Syarikat yang hendak melaksanakan IPO perlu memenuhi 25 peratus keperluan Tebaran Awam yang dikenakan Suruhanjaya Sekuriti;
- 50 peratus daripada 25 peratus tebaran awam itu perlu ditawarkan kepada Bumiputera,
- Had pembelian harta oleh warga asing dinaikkan secara umum kepada RM500,000, dan
- Had pegangan saham asing untuk syarikat pengurusan unit amanah dan broker saham ditingkatkan kepada 70 peratus kepada 49 peratus sekarang.

Serentak dengan langkah liberalisasi itu, Najib juga mengumumkan penubuhan sebuah institusi pelaburan baru yang diberi nama Ekuiti Nasional Berhad atau Ekuinas dengan modal permulaan sebanyak RM500 juta dan sasaran dana sehingga RM10 bilion. Ia akan menjadi satu instrumen baru untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor yang berpotensi mencapai pertumbuhan tinggi seperti pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, minyak dan gas serta bioteknologi. Penubuhan syarikat itu adalah sebahagian daripada pendekatan baru kerajaan untuk memastikan penyertaan Bumiputera yang lebih bermakna dan efektif.

Jelaslah bahawa pentadbiran Najib tidak pernah cuba membunuh semangat atau apa yang beliau sering sebut sebagai roh Dasar Ekonomi Baru, seperti yang mahu digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak. Apa yang beliau cuba lakukan hanyalah memacu Malaysia ke arah sebuah ekonomi yang berpendapatan tinggi untuk kesejahteraan setiap rakyat tanpa mengira fahaman politik, kepercayaan agama atau keturunan selaras konsep 1Malaysia yang beliau cetuskan.

Sebelum ini, beliau sudah pun mengumumkan beberapa langkah untuk meliberalisasikan sektor kewangan dan pelbagai sektor kecil perkhidmatan. Banyak lagi pendekatan baru dijangka diumumkan dari semasa ke semasa sebagai kerangka awal model ekonomi baru yang beliau ilhamkan untuk mencapai matlamat 1Malaysia. Untuk itu, beliau mengharapkan agar rakyat Malaysia dapat bekerja sebagai satu pasukan.

Datuk Abdul Rahman Sulaiman, bekas Ketua Pengarang Bernama

No comments: