'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Thursday, November 19, 2009

Kredibiliti portal, blog boleh dipertikai

Apakah hanya bila kritik pemerintah dianggap tak berat sebelah?

AKHIR ini persoalan sering ditimbulkan apakah media sekarang masih boleh dipercayai kerana kredibiliti masing-masing dikatakan semakin terhakis? Bila disebut media, ia biasanya ditujukan kepada media arus perdana dan ini disempitkan lagi kepada hanya media cetak iaitu akhbar. Tuduhan dibuat bahawa media arus perdana ini selalu sangat memutarbelitkan berita.

Maka persepsinya, ramai rakyat (khususnya dari kelas menengah) kini sudah tidak lagi membeli akhbar arus perdana. Tetapi apakah mereka tidak membeli akhbar hanya kerana sudah tidak percaya apa yang dipaparkan atau apakah kerana ramai sudah pun boleh membaca apa yang dimuatkan dalam akhbar arus perdana setiap hari melalui laman web akhbar itu tanpa dikenakan bayaran. Jelaslah tidak membeli bukan bermakna tidak membaca akhbar arus perdana.

Malah, mungkin kerana setiap akhbar itu sudah pun mempunyai laman web masing-masing orang ramai yang mempunyai internet boleh saja melayari pelbagai akhbar. Jika dulu mereka hanya membaca satu atau dua akhbar, melalui internet mereka sudah boleh mendapatkan maklumat yang berbeza daripada banyak akhbar.

Mereka yang tidak senang dengan liputan akhbar arus perdana sering menuduh akhbar itu khususnya akhbar Melayu memutarbelitkan berita atau 'spin' untuk memberi gambaran baik saja terhadap kerajaan disamping menutup segala kelemahan dan hal yang boleh memberi gambaran negatif terhadap pemerintah. Kebanyakan daripada yang membuat tuduhan demikian itu adalah mereka yang tidak senang dengan golongan yang menyandang kuasa.

Pada pandangan mereka, bukan saja kritikan dan perkara negatif bersangkutan kerajaan tidak disiarkan tetapi akhbar itu juga dituduh jarang memberi ruang kepada pembangkang. Kalau ada pun biasanya yang bersifat negatif. Tetapi apakah akhbar akan diterima sebagai objektif hanya apabila ia mengkritik atau memaparkan hal negatif terhadap pemerintah?

Apa pun, dengan begitu pesatnya perkembangan internet di seluruh dunia dan wujudnya pelbagai kemudahan, semakin ramai pula yang melayarinya untuk mendapatkan maklumat dan berita. Maka tidak menghairankan kebanyakan akhbar di seluruh dunia kini mengalami kemerosotan jumlah pembaca.

Di Malaysia mengikut perangkaan terakhir (2008) sejumlah 1.9 juta kediaman mempunyai kemudahan internet. Ini bermakna masih ramai yang bergantung kepada media tradisional untuk mendapatkan berita dan maklumat.

Walaupun demikian hampir semua akhbar arus perdana di Malaysia mengalami kemerosotan pembaca melainkan Harian Metro termasuk Metro Ahad dan Sinar Harian. Mengikut perangkaan terkini, jumlah pembaca Harian Metro sudah mencecah 2.67 juta dan Metro Ahad 3.17 juta. Malah Harian Metro kini sudah mengambil tempat sebagai akhbar yang mempunyai pengedaran terbesar dalam negara mengatasi akhbar Sin Chew Jit Poh.

Kewujudan internet dan kemudahan pada telefon bimbit sekarang membolehkan sesiapa saja membuat liputan yang boleh pula dikirimkan ke alam siber untuk tatapan umum di seluruh dunia. Apa yang diperlukan hanya sebuah komputer dan sambungan internet. Ditambah kemudahan telefon bimbit yang boleh pula mengambil gambar dan merakam video, seseorang itu boleh saja merakam apa pun kejadian yang dilihatnya untuk dihantar ke laman seperti YouTube atau Facebook untuk tatapan umum.

Maka itu, kini wujud apa yang disebut sebagai 'social media' iaitu media yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk menyebarkan maklumat dan pandangan mereka mengenai apa saja termasuk soal peribadi tanpa sebarang sekatan atau pemantauan. Kemudahan ini termasuklah SMS yang boleh dipaparkan ke dalam Facebook, Twitter atau YouTube melalui telefon bimbit.

Perkembangan kemudahan ini begitu ketara dalam tempoh setahun dua ini. Misalnya jumlah SMS yang dikirim dan diterima setiap hari di seluruh dunia kini menjangkau lebih enam bilion, iaitu bersamaan jumlah keseluruhan manusia di dunia ketika ini.

Kemudahan ini membolehkan apa saja peristiwa termasuk yang tidak dibuat liputan oleh televisyen dan akhbar diberi liputan oleh sesiapa saja. Maka itulah kini wujud apa yang disebut sebagai 'citizen journalist'. Dengan itu apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti cubaan polis menyekat demonstrasi haram hingga berlaku sesuatu kekasaran, ia boleh saja dirakam dengan telefon bimbit dan dihantar serta merta ke alam siber untuk tontonan orang ramai. Ini bermakna rakyat boleh menonton apa saja yang sedang berlaku secara masa sebenar.

Kemunculan kemudahan demikian boleh menentukan pihak berkuasa tidak melakukan kekasaran sewenang-wenangnya kerana sedar segala tindak tanduk kasar boleh pula dirakamkan sesiapa saja dan diedarkan untuk tontonan umum. Dilihat dari segi ini ada juga baiknya kerana ia boleh menjamin pihak berkuasa tidak bertindak sewenang-wenangnya.

Selain penampilan portal itu, ada juga berjuta blog, iaitu yang bermula sebagai catatan peribadi seseorang. Di Malaysia sendiri sudah beribu blog wujud termasuk blog bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang paling popular yang mendapat sambutan meluas. Ia menerima lebih dari 19 juta kunjungan hanya dalam tempoh setahun dari 1 Mei 2008 (tarikh permulaannya) hingga 1 Mei 2009. Populariti sesuatu laman web atau blog boleh diukur daripada berapa ramainya yang memasuki sesuatu laman atau blog untuk memberi pandangan mereka terhadap isu yang dibangkitkan.

Tetapi, apakah yang dipaparkan oleh portal berita mahu pun blog boleh dipercayai semuanya? Kebanyakan yang tertera dalam blog dan portal berita juga bersifat memilih apa yang hendak dipaparkan dan ditambah pandangan peribadi terhadap sesuatu peristiwa. Ini tentunya boleh juga ditakrif sebagai 'spin'. Malah ada sesetengah portal berita tempatan memaparkan pandangan tertentu saja dan membuat cerita bukan-bukan yang diketengahkan sebagai benar padahal kesahihannya meragukan.

Maka itu, kredibiliti sesetengah portal berita dan blog boleh dipertikaikan. Mereka sememangnya tidak bersikap objektif malah memberikan pandangan berat sebelah dengan kesahihan apa yang dimuatkan amat meragukan.

Apa yang dikesalkan ialah wujud beberapa portal berita dan blog yang secara terang-terang membangkitkan isu perkauman hingga mempersoal kedudukan istimewa Melayu seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Maka timbullah tuduhan melulu bagaimana Malaysia mengamalkan dasar menindas bukan Bumiputera.

Tuduhan juga dibuat kononnya media arus perdana terlalu kuat menyokong pihak berkuasa hingga memperlekehkan pihak yang menentang kerajaan. Soalnya, apakah hanya bila mengkritik pemerintah hingga menidakkan yang benar saja diterima sebagai objektif?

No comments: