'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Tuesday, November 17, 2009

Sarawak Syurga penyelam

Perairan Miri kaya khazanah batu karang destinasi skuba terbaru

Jika memperkatakan mengenai aktiviti skuba, kita sering menggambarkannya dengan keindahan hidupan dasar laut dan terumbu karang seperti yang ada di Pulau Sipadan (Sabah), Pulau Pangkor atau Langkawi.

Kawasan berkenaan memang sudah lama sinonim dengan sukan itu, malah setiap tahun menerima kunjungan ribuan peminat skuba dari seluruh dunia.
Namun, ramai masih tidak menyedari selain Sipadan, Pangkor dan Langkawi, Malaysia juga memiliki destinasi skuba lain yang tidak kurang hebatnya.

Perairan Laut China Selatan di persisiran perairan Miri juga memiliki khazanah laut yang tidak ternilai. Ada 28 lokasi skuba di sepanjang pesisiran pantai dari Sebuti (Kuala Niah) menuju ke Lutong, Miri.

Kawasan skuba yang paling dekat dengan pantai Miri ialah Eve’s Garden, Azam’s Reff, Seafan Garden, Anemone Garden, Sunday, Siwa, Tusan, Lakim, Atagomaru Wreck, New Reef V, dan Siwa Oil Rigs.

Tempat lain ialah Pelantar Minyak Tukau, Barracuda Poit, Sri Gadong Wreck, Beting Niah, Batu Butik, Berabok Bubble dan Batu Tar.

Kawasan ini menjadi tempat kepada lebih 3,000 spesies ikan dengan keluasaan hampir 100,000 kilometer persegi ditumbuhi batu karang atau 34 peratus daripada jumlah batu karang di seluruh dunia.

Ia juga menjadi tempat pembiakan untuk 600 daripada 800 spesies batu karang di seluruh dunia, sekali gus menjadikan perairan Miri kawasan paling kaya dengan spesies batu karang dan hidupan marin.

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, berkata ketika ini perairan Miri sudah mula menerima kunjungan peminat aktiviti menyelam, termasuk dari Jepun, Australia dan negara Eropah.

Keadaan itu sudah tentu menjadikan Miri adalah antara destinasi skuba terbaru yang bakal menjadi tumpuan peminat sukan menyelam di Malaysia.

Beliau berkata, Miri juga menjadi antara destinasi menyelam di Malaysia dan yang pertama memiliki pelantar yang dijadikan terumbu karang atau ‘rig to reef’.

Program ‘rig to reef’ Baram 8 yang diberikan nama Kenyalang, adalah antara jaminan yang akan membuka pasaran amat cerah dalam memasarkan produk menyelam di dasar laut Miri.

“Program ‘rig to reef’ Kenyalang akan merangsangkan lagi aktiviti pemasaran dan meningkatkan kesedaran dalam industri menyelam antarabangsa secara amnya.

“Pusat menyelam Kenyalang adalah bonus dan tambahan kepada destinasi menyelam yang kita ada sekarang. Saya yakin dasar laut Miri kini akan menjadi antara destinasi tumpuan penyelam popular tidak lama lagi,” katanya.

Lee yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Senadin berkata, penemuan rangkaian batu karang yang cantik, unik dan pelbagai di dasar laut Miri mulai didedah dan diberi perhatian secara serius pada 1999 apabila kerajaan negeri melakukan kajian terperinci terhadap sistem batu karang di dasar laut perairan Miri-Subis.

Katanya, bagi memastikan khazanah dasar laut ini tidak terjejas oleh pembangunan dan kegiatan manusia, kerajaan negeri turut tampil dengan garis panduan untuk program pengurusan bagi projek pembangunan Taman Marina di pesisir pantai Miri-Subis.

Sementara itu, penyelam, Steve Jimbau, 34, berkata rangkaian batu karang Miri mempunyai potensi yang amat cerah sebagai tarikan pelawat dan penyelam, sekali gus berupaya menjana pendapatan untuk ekonomi tempatan yang mampan jika sumber asli itu terus dijaga dan diurus dengan baik.

“Rangkaian batu karang di Miri, adalah khazanah alam semula jadi negeri Sarawak dan Malaysia. Batu karang di Miri yang bebas daripada aktiviti pencemaran manusia adalah antara batu karang yang dilihat paling sihat dan tercantik wujud di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, perairan Miri mempunyai rangkaian batu karang pelbagai dan berwarna-warni yang membentuk hutan rimba yang berwarna merah, hitam, putih, hijau dan perang keemasan di dasar lautnya.

“Di dasar laut yang berwarna biru dan cukup cantik sekali dengan suhu pada 30 darjah Celsius yang amat sesuai untuk pertumbuhan batu karang, saya menemukan sebanyak enam spesies batu karang yang berwarna oren, merah dan merah muda.

“Dari spesies yang menyerupai pokok berwarna jingga kemerah-merahan hingga karang lembut yang berwarna terang dan menyerupai ‘span’ berwarna ungu serta ikan badut dan batu karang yang dinamakan Sunday,” katanya.

Beliau meminta kerajaan negeri melaksanakan lebih banyak program mempromosikan potensi aktiviti skuba di perairan utara Sarawak.

No comments: