'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Monday, November 30, 2009

Sarawak: Remaja gian cemari Tebingan Kuching


GELAGAT remaja bawah umur yang mabuk teruk dipapah rakan beredar dari tempat berteduh di Tebingan Kuching daripada dikesan pihak berkuasa

Lelaki, perempuan tak hirau penguat kuasa

Selain diakui memiliki pemandangan indah serta mempunyai beberapa catatan sejarah negeri ini sejak zaman penjajah, sekali gus menjadi tumpuan utama pelancong dari dalam dan luar negara kawasan Tebingan Kuching, di sungai Sarawak, di sini, turut dijadikan sasaran kumpulan remaja bermasalah melepak, menghisap rokok, minum minuman keras atau menelan pil khayal, terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Setiap hujung minggu atau cuti umum, tidak kira siang atau malam, ada saja remaja termasuk perempuan yang dipercayai mabuk kerana minuman keras atau menelan pil khayal dilihat berjalan terhuyung hayang di kawasan itu. Ada di antara kumpulan remaja itu terdiri dari tiga hingga lima orang dan ada juga yang mencecah sehingga 10 atau lebih.




Keadaan itu, menyebabkan ada di antara mereka yang gagal mengawal diri, kerana mabuk minuman keras atau pil terlanggar sesama mereka atau pengunjung lain, sehingga berlaku pergaduhan sehingga ada di antara mereka menggunakan senjata seperti tali pinggang, rantai, kayu atau pisau.

Untuk mengawal keadaan itu, polis beberapa kali melakukan Ops Sapu di kawasan berkenaan pada waktu-waktu tertentu, dan setiap kali operasi dijalankan sehingga dua trak, penuh dengan remaja lelaki dan perempuan terbabit dan dibawa ke balai atas pelbagai kesalahan.

Meskipun terdapat Unit Polis Pelancong ditempatkan di kawasan itu dan kebelakangan ini kelihatan beberapa anggota ikatan relawan rakyat Malaysia (Rela) juga ditugaskan secara berpecah di kawasan strategik, namun kumpulan remaja semuda usia sembilan tahun ini tetap tidak mengendahkan kehadiran mereka, malah langsung tidak berganjak walaupun diarah beredar dari kawasan itu.

November tahun lalu, seorang pelajar Melayu dari Kampung Astana di sini, mati ditikam oleh sekumpulan pemuda yang dipercayai mabuk ketika berjalan di kawasan itu.

Ekoran kejadian itu, polis daerah Kuching, ada ketikanya menghantar anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) atau cawangan khas (CK) dan peronda memantau kawasan itu.

Selain itu, sepasukan Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan pengawal keselamatan Tebingan Kuching juga ada menjalankan operasi bersepadu sekali sekala di kawasan terbabit.

Tinjauan Berita Harian secara berselang ke kawasan itu tiga minggu lalu mendapati antara taktik mereka ketika dihalau adalah beralih ke kawasan kaki lima kedai-kedai yang menjual barang kraftangan dan barangan antik, berhadapan Tebingan Kuching atau beredar ke arah Kompleks Medan Pelita atau kedai minum di Taman Sri Sarawak, sebelum kembali semula ke situ bersama rakan lain pula selang 20 hingga 45 minit kemudian.

Mereka yang datang semula ke kawasan itu akan membawa minuman keras sama ada yang dalam tin atau botol yang dibeli dari kedai minuman tidak jauh dari situ atau sebuah kedai minuman ringan yang memang diketahui menjual minuman keras di hadapan tebingan berkenaan atau dari Taman Sri Sarawak.

Untuk menjadikan, minuman itu lebih 'power atau kick' ada yang sanggup mencampurkannya dengan pelbagai minuman keras lain atau pil khayal.

Salah seorang penjaja makanan dan minuman ringan di kawasan itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Jack, 43, berkata, masalah remaja melepak di kawasan terbabit sudah melampau ketika ini kerana ada di kalangan mereka mengganggu pelancong asing.

Beliau berkata, jumlah sebenar kes jenayah yang berlaku di sini, tidak dapat dipastikan tetapi memang terdapat pelancong asing yang berkunjung ke sini diancam atau diragut oleh kumpulan remaja yang mabuk.

Katanya, pengawal keselamatan Tebingan Kuching yang ada di sini hanya ada kuasa menjaga harta benda yang ada bukan, mengawal kehadiran remaja terbabit.

“Jumlah mereka juga hanya 10 orang yang bertugas secara bergilir iaitu lima siang dan lima lagi malam.

“Apa yang mereka mampu buat ialah meminta kumpulan remaja itu bersurai, namun selang setengah jam selepas itu, kumpulan remaja berkenaan pasti akan datang semula melepak di sini,” katanya.

Seorang penjual kek lapis Sarawak di kaki lima sebuah kedai antik berhadapan dengan kawasan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Dayang, 35, berkata masa kumpulan remaja melepak bermula petang Jumaat hingga Ahad.

Beliau berkata, waktu kemuncak di antara jam tiga hingga lima petang pada Jumaat dan pada hujung minggu atau cuti umum mereka akan muncul seawal jam sembilan pagi.

“Port' atau lokasi mereka ialah di sebuah pondok rehat dan beberapa bangku taman di belakang Muzium Cina dan kawasan yang agak tersorok.

“Ada di antara pelajar sekolah ekoran masih berpakaian seragam dan membawa beg namun ada juga yang menukarkan pakaian dengan baju kemeja T yang dibawa dari rumah,” katanya.

Seorang tukang sapu yang hanya mahu dikenali sebagai Kiah, 50, berkata jumlah anggota setiap kumpulan antara lima hingga 10 orang dan pada hujung minggu mencecah 20 orang, manakala jumlah kumpulan pula mencecah 30 hingga 60 kumpulan sehingga menyebabkan di kawasan sekitar belakang muzium itu agak sesak.

Beliau yang sudah lebih setahun berkerja di situ, berkata remaja terbabit membeli minuman keras itu secara berkongsi dari dua kedai makan dan minuman ringan di hadapan lokasi berkenaan.

Katanya, kumpulan remaja terbabit lazimnya akan mengumpul duit sesama mereka dengan menyebut `tong-tong' sebelum pergi membeli minuman keras berkenaan, yang biasanya akan dibungkus dengan plastik.

"Ada remaja yang terlalu mabuk dan tidak mampu lagi berjalan ditinggalkan rakannya tertidur di bangku di tebingan itu.

"Sejak beberapa minggu lalu, saya kerap bertemu dengan bungkusan pil dipercayai pil hayal dari kawasan tempatan remaja terbabit berkumpul," katanya.

Manakala seorang penjaga tandas, Zainab Mon, 61, berkata kumpulan remaja itu akan bersurai dengan lari lintang pukang, apabila melihat ada anggota polis menujun ke arah itu.

"Apapun mereka akan datang semula beberapa minit kemudian, selepas polis sudah beredar.

"Ada juga yang berjaya ditangkap oleh anggota JSJ dan CK yang memang mencari remaja terbabit di kawasan itu," katanya.

Manakala seorang penduduk bandaraya ini, Mordiah Osman, 45, berkata beliau dan keluarganya pernah melihat seorang remaja lelaki yang dipercayai dalam keadaan mabuk mengejar seorang remaja lain sambil membawa pisau di tangan kanannya.

"Keadaan ini, membuat saya bersama suami dan tiga anak kami, mengambil keputusan membatalkan cadangan awal untuk berjalan-jalan sambil makan kebab di Tebingan Kuching.

"Suami saya, pernah beberapa kali melihat remaja yang melepak di kawasan itu bergaduh dengan bersenjatakan kayu dan botol ketika melalui jalan berhadapan tokong, dalam perjalanan pulang dari pejabatnya pada petang Sabtu," katanya.

Mordiah berkata, berdasarkan pengalaman itu dan kes jenayah yang dilaporkan berlaku di situ, kami jarang berkunjung ke kawasan terbabit sejak kebelakangan ini.

"Sekiranya masalah itu gagal ditangani dengan bijak, ia boleh menjadi barah sekali gus akan mengurang jumlah pelancong berkunjung ke kawasan terbabit.

"Saya berharap semua pihak berkaitan melihat dan bertindak untuk menagani masalah itu dengan serius mulai sekarang," katanya.

BeritaHarian 30/11/2009

No comments: