4 Nov. – Kementerian Kerja Raya akan melaksanakan projek perintis bagi membenarkan 35 pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) bekerja dari rumah mulai Januari tahun depan.
Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, pelaksanaan projek itu bertujuan meningkatkan produktiviti selain mengurangkan kos pengangkutan yang terpaksa dibelanjakan oleh kakitangan JKR.
“Saya telah mencadangkan perkara ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati pelukis pelan banyak menghabiskan masa bekerja dengan komputer dan beliau membenarkan.
“Kita percaya langkah ini berupaya meningkatkan produktiviti terutama kepada kakitangan perempuan kerana pada masa sama mereka mampu memberi tumpuan yang lebih kepada keluarga,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Menurutnya, melalui kaedah bekerja dari rumah, 35 pelukis pelan tersebut hanya perlu hadir ke pejabat sehari dalam masa seminggu untuk bertemu dengan penyelia.
Katanya, jika projek perintis itu berjaya, ia kemudian akan diperluaskan kepada agensi-agensi lain di bawah kementerian berkenaan.
Bagaimanapun, jelas beliau, jika penilaian mendapati projek itu gagal meningkatkan produktiviti kerja, ia akan dibatalkan.
“Kementerian memberi masa tiga bulan iaitu sehingga Mac tahun depan untuk membuat penilaian sebelum sebarang keputusan terhadap masa depan projek ini diputuskan.
“Kami bagaimanapun percaya, ia akan membuahkan hasil seperti yang diharapkan,” katanya
Utusan Malaysia 5/11/09
Thursday, November 5, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment