Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia menyambut baik langkah kerajaan menarik balik syarat pemeriksaan mandatori ke atas kereta yang berusia lebih 15 tahun sebelum memperbaharui cukai jalan.
Presidennya, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh, berkata keputusan itu diterima baik oleh kira-kira 500,000 pesara di negara ini.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Timbalan Perdana Menteri kerana mendengar masalah rakyat. Kebanyakan pesara menggunakan kereta ketika dibeli semasa berkhidmat dengan kerajaan dan kini tidak lagi mampu membeli kereta baru," katanya di sini, hari ini.
Katanya, jika peraturan itu dikuatkuasakan, ia akan membebankan pesara tetapi menghargai hasrat kerajaan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Raja Wan Mahmood berkata, ramai pesara sudah menulis kepada persatuan selepas peraturan itu, antara 18 langkah baru dalam kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP), diumumkan pada 28 Oktober lalu.
Katanya, perangkaan menunjukkan hanya sebilangan kecil pesara terbabit dalam kemalangan jalan raya di negara ini.
"Kerajaan harus meningkatkan pengawasan terhadap kenderaan komersial yang mengeluarkan asap hitam, sistem brek yang kurang berkesan serta melanggar pejalan kaki yang tidak berdosa," katanya.
Katanya, pemansuhan syarat pemeriksaan kereta lama adalah berita baik kedua kepada pesara selepas kerajaan melanjutkan pembayaran khas RM500 yang dinikmati oleh petugas awam kepada pesara kerajaan pada Bajet 2010 bulan lalu. - Bernama
Saturday, November 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment