Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan kenaikan harga ayam di negeri ini daripada RM6.60 ke RM7 sekilogram berkuat kuasa Jumaat lalu.
Pengarahnya, Rodin Mamat, berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan harga tinggi makanan haiwan berkenaan yang diimport, selain kos pengangkutannya meningkat mengikut keadaan semasa.
"Kenaikan ini berbeza mengikut kawasan dengan puratanya cuma 30 sen bagi seluruh negeri Sarawak. Saya ingin menegaskan mana-mana peniaga yang bertindak menaikkan harga melebihi harga yang ditetapkan bakal berhadapan tindakan tegas.
"Kami sudah menerima banyak laporan berkaitan kenaikan melampau ini dan pihak penguatkuasaan kita akan tidak berkompromi lagi dan diarahkan terus mengeluarkan kompaun," katanya ketika melakukan pemeriksaan di Pasar Jalan Gambier, di sini, kelmarin.
Dalam pemeriksaan hampir sejam yang turut disertai Ketua Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Abdul Rosik Yaakob, sejumlah 37 kedai dan pasar basah diperiksa oleh kakitangan jabatan berkenaan.
Rodin berkata, pemeriksaan sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna tidak dibebankan dengan kenaikan harga barangan keperluan menjelang sambutan Tahun Baru Cina kelak.
"Memang setiap kali musim perayaan kita akan melakukan pemeriksaan sebegini bagi memastikan peniaga mematuhi harga baru bagi 10 barang kawalan yang diumumkan Jumaat lalu.
"Tinjauan kita hari ini mendapati peniaga mematuhi jadual harga berkenaan selain barang keperluan lain dijual pada harga yang memuaskan dengan kami menjamin barang keperluan akan mencukupi sepanjang musim perayaan ini," katanya.
Mengulas mengenai kenaikan harga bawang merah kecil gred A dari India, Rodin berkata, sebelum ini bawang merah dijual pada harga RM12 sekilogram berikutan bekalannya tidak mencukupi akibat bencana yang melanda India.
"Bagaimanapun, kita sudah meminta pengimport membawa lebih banyak bawang merah berikutan musim perayaan dengan harganya sudah dapat diturunkan ke RM6 sekarang," katanya.
Kenaikan maksimum bagi ayam berbeza mengikut kawasan di negeri ini dengan perbezaan harga di Kuching dan Lawas mencecah RM1.80 sekilogram dengan kawasan pedalaman seperti Kapit dan Kanowit mengalami kenaikan harga antara 20 sen sehingga 40 sen.
Tuesday, February 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment