'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Wednesday, September 3, 2008

Bangkok tenang, tiada keganasan baru

Selepas 24 jam perintah darurat diisytiharkan, keadaan di Bangkok hari ini tenang tanpa sebarang kejadian keganasan baru, tetapi kumpulan badan bukan kerajaan dan media terus mendesak Perdana Menteri Samak Sundaravej meletakkan jawatan untuk menamatkan konflik itu.

Disebalik ancaman oleh 43 kesatuan sekerja untuk melancarkan mogok di seluruh negara dan menjejaskan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik serta perkhidmatan bas sebagai menyokong gerakan antikerajaan, masih tiada tanda-tanda tindakan itu diambil setakat ini, tetapi industri pelancongan terjejas teruk akibat konflik itu.

Lapangan Terbang Hatyai ditutup dua hari berturut-turut selepas beratus penyokong Pakatan Rakyat Bagi Demokrasi (PAD) melakukan sekatan di jalan menuju ke lapangan terbang itu bagi menunjukkan perpaduan mereka dengan rakan mereka yang merampas Bangunan Kerajaan pada 26 Ogos.

Di pulau peranginan popular Koh Samui, jumlah pelancong yang tiba dengan penerbangan merosot daripada 5,000 kepada hampir separuh manakala di Bangkok, jumlah pembatalan tempahan terus meningkat.

Beratus anggota polis berkawal di sekitar Bangunan Kerajaan dan kawasan berhampiran, yang menjadi pusat pertempuran pada awal pagi semalam antara anggota PAD dan kumpulan prokerajaan, Pakatan Demokrasi Menentang Pemerintahan Diktator (DAAD) yang mengakibatkan seorang terbunuh dan 40 cedera.

Keadaan semakin reda hari ini selepas DAAD, dibentuk selepas tentera menggulingkan perdana menteri Thaksin Shinawatra dalam rampasan kuasa pada 19 Sept, 2006, memindahkan tapak bantahan mereka dari Sanam Luang yang terletak dekat kawasan pelancongan popular Grand Palace ke Samut Prakan di pinggir ibu kota.

Tentera yang mengawal keselamatan di ibu kota berikutan perintah darurat itu, belum mengambil sebarang tindakan untuk mengeluarkan penyokong PAD dari Bangunan Kerajaan dan dipercayai sedang berunding dengan pemimpinnya untuk mencapai penyelesaian secara baik.

Samak, bagaimanapun terus tidak menghiraukan gesaan pelbagai pihak supaya meletakkan jawatan dan menolak cadangan agar membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baru.

“Samak mesti mengaku yang beliau telah melakukan banyak kesilapan dalam tempoh tujuh bulan memegang jawatan dan ia sudah cukup untuk beliau meletakkan jawatan,” menurut Bangkok Post.

Akhbar itu juga berkata PAD, yang secara terbuka telah menyatakan sokongan agar parti Demokrat mengambil alih pentadbiran jika Samak meletakkan jawatan dan juga mencadangkan sistem baru bagi 70 peratus wakil dipilih manakala 30 peratus lagi dilantik, mesti menerima prinsip demokrasi dan membenarkan Parti Kuasa Rakyat pimpinan Samak membentuk Kabinet baru kerana mereka mempunyai majoriti.

Pemimpin PAD Sondhi Limthongkul memberitahu Bangkok Post yang mereka bersedia menamtakan bantahan jika Samak meletakkan jawatan.

— BERNAMA

No comments: