Semua susu tepung formula yang ada di pasaran di negara ini adalah selamat untuk digunakan dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan kes pencemaran susu seperti yang berlaku di China, kata Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai.
Beliau berkata kes yang berlaku di China tidak mempunyai kaitan di negara ini kerana susu jenis tersebut tidak diimport oleh Malaysia.
“Ini jaminan kepada rakyat Malaysia, susu tersebut tidak ada dalam pasaran negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beberapa kematian dilaporkan berlaku di China yang dikaitkan dengan produk susu tepung formula bayi. Kementerian Kesihatan hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak mengimport sebarang produk susu tepung formula bayi dari China, khususnya yang dihasilkan oleh Sanlu Group.
Liow berkata kementeriannya telah mengambil beberapa langkah yang perlu bagi memastikan susu tepung formula bayi yang ada di pasaran tempatan adalah selamat digunakan.
“Kementerian tidak akan berkompromi dalam soal memastikan tahap kesihatan produk untuk orang ramai sentiasa terjamin,” katanya.
Beliau meminta rakyat negara ini yang pernah meminum susu tersebut ketika berada di China supaya membuat pemeriksaan kesihatan.
- Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment