Suasana politik sekarang yang agak berlainan berbanding beberapa tahun atau dekad sebelum ini merupakan satu terjemahan kepada kemajuan ekonomi yang dikecapi masyarakat di negara ini.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac lepas, suasana politik negara tidak sepi dengan pelbagai ‘kejadian’ - yang paling mendapat perhatian, azam Pakatan Rakyat (PR) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan baru bagi menggantikan Barisan Nasional (BN).
Ketua Jabatan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Neilson Ilan Mersat, berkata dari segi teorinya keadaan politik yang dialami negara sekarang merupakan sebahagian daripada proses pemantapan demokrasi.
“Pendukung-pendukung teori modenisasi pernah menyatakan sesebuah negara itu akan lebih mantap dan matang demokrasinya apabila ekonominya bertambah maju dan diikuti dengan peningkatan taraf hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Borneo menerusi emel semalam.
Menurutnya, kajian-kajian yang dibuat oleh sarjana-sarjana dalam bidang politik seperti Seymour Martin Lipset (1959), Samuel P Huntington (1968) dan Philippe C Schmitter (1986) menunjukkan memang wujud hubungan antara pemodenan dan pendemokrasian.
“Demokrasi akan lebih subur apabila sesebuah negara itu mencapai tahap pembangunan dan pemodenan yang meningkat.
“Sejak Malaysia ditubuh, terbukti ia telah mengalami proses pembangunan dan pemodenan yang agak pesat,” jelasnya.
Katanya, taraf kehidupan meningkat dengan kadar kemiskinan telah menurun, peluang pendidikan yang banyak, jumlah kelas menengah dan kelas pekerja semakin meningkat, media masa dan perkembangan teknologi terkini menjadikan maklumat mudah diperolehi.
Semua ini akan menjadi pemacu kepada pendemokrasian sesebuah negara, ujar beliau.
“Begitu juga dengan bertambahnya jumlah pergerakan sosial yang melahirkan masyarakat bertamadun dan seterusnya mewujudkan demokrasi yang vibran sifatnya.
“Sudah tentunya kumpulan yang berbagai ini mempunyai kepentingan, tuntutan dan kehendak yang amat berbeza dan adakalanya sukar untuk dipenuhi,” katanya.
Sehubungan itu, Neilson dalam masa yang sama mengajukan soalan: “Apakah nilai-nilai demokrasi yang kita dukung selama ini mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran seperti ini?”
Katanya, bagi pendukung-pendukung teori modenisasi cabaran-cabaran seperti yang dihadapi kerajaan BN pada masa ini sememangnya tidak dapat dielakkan.
“Dari segi praktiknya, perkembangan-perkembangan tersebut adalah cabaran yang getir khasya kepada pemerintah,” katanya.
Walaupun keadaan sekarang dilabelkan ‘sihat’ dari aspek teori, tetapi ia perlu ditangani serius oleh pemerintah agar tidak berlarutan kepada perbalahan kaum atau agama.
“Apatah lagi dengan keadaan di Malaysia yang agak rapuh disebabkan komposisi masyarakatnya yang berbagai etnik, agama dan budaya.
“Demokrasi memang berkehendakkan penyertaan seluruh masyarakat, tetapi seandainya perbuatan sesetengah kumpulan mencetuskan ketegangan, demokrasi akan mati apabila mencapai tahap ini,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment