'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Wednesday, September 10, 2008

Tangani kenaikan harga musim perayaan

Setiap kali tiba musim perayaan pengguna bimbang harga barang akan meningkat kerana itulah trend yang biasa berlaku setiap tahun.

Walaupun jaminan diberikan oleh kerajaan tidak akan berlaku kenaikan harga barang dan harga dijamin stabil kerana bekalan mencukupi, pengalaman sebelumnya memperlihatkan keadaan sebaliknya yang berlaku.

Senario sebenar para peniaga tetap menaikkan harga barang menjelang musim perayaan atas pelbagai alasan termasuk bekalan kurang, pembekal dan pengimport mengenakan harga tinggi dan sebagainya.

Sehubungan itu, walaupun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad memberi jaminan harga barangan tidak akan naik, rata-rata rakyat merasakan jaminan itu belum memadai.

Walaupun syarikat-syarikat pengeluar barangan makanan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga barangan sewenang-wenangnya pada musim perayaan berikutan bekalannya yang mencukupi, ia bukan kepastian dan perkara sebaliknya akan berlaku.

Tidak cukup sekadar mendapat kepastian daripada pengeluar dan pengedar. Pegawai-pegawai penguat kuasa kementerian berkaitan kena turun padang. Tindakan tegas perlu diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya.

Tindakan pengawai penguat kuasa sekadar mengenakan kompaun kepada peniaga yang ingkar tidak memadai.

Para peniaga mempunyai taktik sendiri untuk meminta kerajaan supaya membenarkan mereka menaikkan harga barang. Soal kos yang tinggi ekoran harga minyak adalah salah satu daripadanya.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini juga, pelbagai langkah yang diambil kementerian seperti melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) bagi memastikan harga barangan terkawal, dilihat belum cukup berkesan, harga barang tetap naik. Penguatkuasaan yang dilakukan juga dilihat tidak begitu berkesan.

Pengumuman Shahrir bahawa Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dikuatkuasakan sepenuhnya untuk memastikan peniaga yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan tegas amatlah wajar.

Sudah sampai masanya tindakan undang-undang dikuatkuasakan sepenuhnya. Setakat ini, berapa ramai peniaga yang dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Justeru jaminan Shahrir itu diharap dilaksanakan dengan sepenuhnya bukan sekadar pengumuman untuk menyedapkan hati rakyat.

Begitupun, untuk menguatkuasakan undang-undang itu pegawai kementerian berkaitan perlu turun padang, memantau harga barang, bukan membuat pemantauan dari pejabat sahaja - sekadar mengumpul aduan-aduan daripada para pengguna.

Itulah yang paling penting. Jaminan sahaja tidak memadai jika pegawai kementerian tidak turun padang untuk meninjau sendiri operasi di pasar-pasar besar dan premis-premis perniagaan di seluruh negara.

Pemantauan pula perlu dilakukan secara menyeluruh bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Biar para peniaga gerun apabila premis mereka diperiksa oleh pegawai penguat kuasa.

Para peniaga biasanya tidak takut atau bimbang apabila premis mereka diperiksa pegawai penguat kuasa kerana merasakan apalah sangat nilai kompaun yang dikenakan jika didapati melakukan kesalahan.

Selain mampu membayarnya, berapa banyak kompaun yang dikenakan itu jika dibandingkan dengan keuntungan yang diperoleh mereka.

Begitupun, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan denda maksimum RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Kalau ia betul-betul dikuatkuasakan, para peniaga akan berfikir dua kali sebelum melanggar peraturan.

Masalah harga barang yang telah lama berlarutan ini perlu dilihat secara serius. Keluarga yang mempunyai ramai anak dengan berpendapatan rendah cukup terbeban dengan kenaikan harga barang.

Pengguna cuma mengharapkan untuk mendapatkan sesuatu barangan dengan harga yang munasabah.

Dalam hal ini, KPDNHEP perlu memantapkan lagi pasukan penguat kuasanya. Pihak kementerian perlu ada pasukan sendiri yang boleh digerakkan segera untuk menyiasat punca kenaikan harga sesuatu barang dan mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah itu.

Pihak berkuasa tidak boleh terlalu 'tunduk' kepada peniaga. Mereka boleh mencipta pelbagai alasan untuk menaikkan harga barang dan melepaskan diri daripada dikenakan tindakan undangundang.

Kerajaan juga perlu mencari cara dan mengambil pendekatan sewajarnya bagi membantu rakyat dengan memastikan harga barangan adalah berpatutan.
Pengguna berhak menikmati harga yang berpatutan seperti yang telah ditetapkan. Pengguna tidak harus dipaksa membayar lebih untuk memperoleh barangan yang diperlukan.

Setakat mana pengguna boleh memboikot sesuatu barangan jika itu yang kerajaan mahu mereka lakukan. Pengguna tidak dapat mengelak daripada membeli ayam, daging, telur, gula dan minyak masak kerana semua itu diperlukan terutamanya menjelang musim perayaan.

No comments: