Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memberi insentif khas kepada penanam padi bukit di Sarawak dan Sabah sebagai langkah meningkatkan lagi keluaran padi bukit tempatan.
Timbalan Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim berkata setakat ini terdapat kira-kira 60,000 penanam padi bukit di Sarawak dan 3,000 lagi di Sabah dengan jumlah anggaran kawasan penanaman sekitar dua ke tiga ekar seorang.
“Kementerian akan memberi insentif khas dalam bentuk baja dan peralatan untuk meningkatkan pengeluaran padi tempatan termasuk pengeluaran padi bukit dalam setahun,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya kerajaan bersetuju untuk memberi kemudahan insentif seperti baja (25 kilogram) dan racun perosak (empat liter) sebulan selain peralatan menyembur racun dan mesin gergaji berantai kepada penanam padi bukit yang berdaftar dengan kementerian.
Penanam padi bukit yang ingin mendapatkan kemudahan tersebut boleh mendaftar nama mereka dengan kementerian sekarang dan mereka yang layak dijangka menerima kemudahan itu awal tahun depan, katanya.
Rohani berkata kebanyakan penanam padi bukit di Sarawak dan Sabah masih lagi mengusaha sawah mereka secara tradisional iaitu melalui cara penanaman
“pindah randah” dengan meneroka tempat yang baru setelah tempat lama tidak lagi subur untuk tanaman padi.
Sementara itu, berhubung sekatan eksport produk perikanan negara ke negara Kesatuan Eropah (EU), Rohani berkata sekatan itu adalah atas kerelaan Malaysia sendiri untuk memberi peluang kepada pengusaha tempatan meningkatkan standard keselamatan dan kesihatan produk perikanan masing-masing.
Setakat ini enam pengusaha telahpun bersedia untuk menerima pemeriksaan daripada pihak audit keselamatan dan kesihatan makanan EU sebelum mereka boleh meneruskan eksport produk perikanan ke EU.
— BERNAMA
Sunday, September 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment