Usaha sama pemaju, pemilik tanah buahkan hasil lumayan seperti yang dinikmati pemilik tanah di Suai dan Kanowit
Skim pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang dijalankan secara usaha sama antara pemaju dan pemilik tanah membuahkan hasil lumayan seperti yang dinikmati pemilik tanah di Suai dan Kanowit, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Beliau berkata, projek usaha sama bagi skim penanaman kelapa sawit dengan menggunakan pendekatan baru serta sokongan yang baik daripada peserta ternyata membawa pulangan yang memberangsangkan kepada pemiliknya sekali gus membantu kerajaan membasmi kemiskinan khususnya di luar bandar.
“Dalam usaha untuk memajukan projek pembangunan tanah itu, kerajaan hanya sebagai orang tengah dan pelaksana dalam projek ini supaya kedua-dua belah pihak iaitu para pelabur dan pemilik tanah sama-sama mendapat keuntungan sekiranya tanah yang diusahakan mereka itu berhasil,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Gotong-Royong Membersih Sungai di sungai Ulu Sebauh, Rumah Andrew Lawai Sungai Lanying Ulu Sebauh, semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kemena merangkap Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Dr Stephen Rundi Utom, Residen Bintulu Dr Razali Abon, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Mohidin Ishak, Setiausaha Politik Ahli Parlimen
Bintulu Zaedy Nor Abu Nasir,Tuai rumah Andrew Lawai serta pengusaha ladang kelapa sawit di Suai Niah Datuk Hassan Sui.
Beliau berkata, skim pembangunan kelapa sawit di tanah NCR di Kanowit sendiri ternyata menguntungkan 16,000 pesertanya dengan 49,000 hektar telah dibangunkan oleh Salcra dengan dividen bagi tahun 2006 adalah sebanyak RM200.2 juta akan diagihkan untuk 16,000 peserta terbabit.
“Manakala sebanyak RM35 juta lagi dividen bagi tahun 2007 dijangka akan diagihkan kepada peserta Salcra terbabit untuk tahun ini dan kita akan mengadakan mesyuarat mengenainya,” katanya sambil menjelaskan mengenai pembangunan tanah di Sebuang, Segan-Silas dan Kelabat-Genaan akan turut sama menguntungkan peserta di kawasan itu.
Jabu yang merupakan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak serta Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, dengan penyertaan dalam projek pembangunan tanah itu hari ini, maka lima tahun akan datang kita akan melihat perubahan yang akan berlaku di luar bandar.
“Kita tidak perlu takut dengan perubahan dan kemajuan di luar bandar, justeru kita perlu membantu dalam apa jua keadaan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar,” jelasnya
Menyentuh mengenai politik pembangunan, Jabu berkata rakyat telah melihat politik negatif tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada rakyat malahan ditolak oleh rakyat, sebaliknya politik yang positif yang disokong dengan baik telah terbukti membawa kejayaan kepada penduduk luar bandar.
Katanya, peluang sudah ada, maka tidak kira penduduk luar bandar mahupun bandar, mereka perlu sama-sama berusaha untuk menjayakan hasrat negara untuk mencapai taraf negara maju pada tahun 2020.
“Apabila bandar maju, maka penduduk luar bandar juga akan dapat menikmati sama kemajuan itu dari segi ekonomi, peluang-peluang perniagaan dan kerja,” tambahnya.
Sebagai seorang yang pernah bekerja sebagai pegawai kerajaan, Jabu berkata pengalaman luas yang diperolehinya itu dibawanya bersama semasa memasuki bidang politik mengenai kesukaran penduduk luar bandar dan keprihatinan kita bagaimana untuk memajukan mereka.
“Namun saya berasa amat bertuah kerana menyertai pasukan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) yang memperjuangkan politik pembangunan demi untuk kemajuan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Timbalan Ketua Menteri itu turut meminta agar penduduk bandar dan luar bandar tidak mengira kaum termasuk parti-parti komponen di negeri ini bersama-sama merancang masa depan negeri ini.
“Dalam jangka panjang, kita akan melihat perbezaan yang ketara berlaku di luar bandar melalui perancangan dan pembangunan yang hebat yang dilakukan 13 tahun dari sekarang,” katanya sambil menambah gelombang pembangunan kedua akan menjadi satu cabaran hebat bagi negeri ini untuk memastikan Wawasan 2020 dapat dicapai.
Di majlis itu Jabu melepaskan anak ikan sebagai simbolik pelancaran program gotong-royong membersih sungai anjuran Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) dan BDA di ulu Sungai Sebauh, penyampaian komputer dan pencetak kepada Sekolah Kebangsaan Hermanus
Assan serta penyampaian sijil dan cenderamata kepada peserta Program Gotong-royong
Membersih Sungai.
bp.4.12.07
Tuesday, December 4, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment