Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan sentiasa berlaku adil terhadap kakitangan awam dan berusaha memenuhi permintaan mereka jika dirasakan munasabah dan wajar.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan dari dulu sehingga sekarang tetap prihatin terhadap masalah dan kedudukan anggota perkhidmatan awam.
‘‘Dari semasa ke semasa, dari dulu sampai sekarang, apabila keadaan memerlukan dan melihat kewajaran, maka akan ada nanti apa yang dipanggil sebagai pemberian-pemberian sama ada yang berkaitan elaun, kenaikan gaji ataupun insentif, bonus, tambah gaji dan lanjutkan umur pencen. Semua ini bukan tak pernah berlaku.
‘‘Semua ini dah berlaku. Saya fikir kita berlaku adil kepada kakitangan awam. Dan kita akan terus berlaku adil kepada anda,’’ katanya ketika merasmikan Konvensyen Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini hari ini.
Ucapan Perdana Menteri itu merujuk kepada tiga permohonan CUEPACS yang disuarakan oleh Presidennya, Omar Osman dalam ucapan aluannya sebelum itu.
Antara lain, Omar memohon agar kerajaan menimbangkan pemberian honorarium RM2,000 untuk semua kakitangan awam tanpa mengira kumpulan kerja, mengkaji semula sistem Pencapaian Tahap Kecekapan (PTK) dan melanjutkan umur persaraan dari 56 kepada 58 atau 60 tahun.
Dalam reaksinya, Abdullah secara terbuka meminta supaya Omar dan CUEPACS membincangkan permohonan kakitangan awam itu secara langsung dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
‘‘Bila saya dengar Omar cakap tadi, ngaungnya begitu kuat. Saya belum pekak lagi, cuba cakap perlahan-lahan seperti saya ini,’’ katanya disambut dengan tepukan dan ketawa Omar serta para perwakilan.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak menghalang jika konvensyen tersebut membangkitkan isu-isu berkepentingan kakitangan awam tetapi pada masa yang sama, berharap soal meningkatkan mutu perkhidmatan dan kecekapan sektor awam turut dibincangkan.
Utusan Malaysia11/12/07
Tuesday, December 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment