'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Wednesday, December 5, 2007

32. Isu tanah hanya gimik raih simpati pengundi - Rakyat Sarawak perlu waspada maklumat tidak tepat disebar pembangkang menjelang pilihan raya

Isu tanah membabitkan kaum Cina di Sarawak dilihat bukan lagi menjadi senjata untuk parti pembangkang meraih simpati pengundi menjelang pilihan raya umum ke-12 yang akan diadakan bila-bila masa.

Ia berikutan beberapa langkah yang sudah pun diambil kerajaan negeri termasuk memperkenalkan polisi baru tanah seperti pengurangan kadar premium antara 10 hingga 25 peratus dan lanjutan hak milik sehingga 99 tahun.

Malah, pendedahan berterusan mengenai pelbagai isu berkaitan tanah juga dilihat dapat mengatasi masalah kekeliruan pemilik tanah di negeri ini.

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, Lee Kim Shin, berkata rakyat negeri ini tidak seharusnya terpedaya dengan khabar angin dan maklumat tidak tepat yang disalurkan pihak tidak bertanggungjawab termasuk pembangkang mengenai isu tanah di negeri ini.

Sebaliknya, beliau berkata, rakyat wajar mendapatkan maklumat daripada saluran yang betul khususnya pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) jika mempunyai sebarang keraguan mengenai isu tanah.

"Di luar sana memang banyak khabar angin yang berunsur kutukan terhadap kerajaan mengenai isu tanah, walaupun kerajaan sebelum ini sudah mengumumkan polisi baru tanah yang dilihat banyak memberikan manfaat kepada rakyat.

"Tetapi mereka sengaja mencari apa saja isu terutama isu tanah yang amat sensitif di hati rakyat untuk membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan," katanya pada sesi taklimat kepada ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengenai permohonan pembaharuan sewaan tanah di pejabat parti itu, di sini, kelmarin.

Ketika pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dua tahun lalu, SUPP kalah besar apabila hilang lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya kepada pembangkang yang memanipulasikan isu premium tanah. SUPP kalah di Padungan, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Engkilili, Meradong, Bukit Assek dan Kidurong.

Sehubungan itu, Lee berharap dengan adanya inisiatif menganjurkan taklimat mengenai isu tanah akan dapat mendedahkan ahlinya mengenai isu tradisi pembangkang tersebut.

"Kita harap dengan pendedahan ini ahli SUPP boleh membantu menangkis dakwaan pembangkang dengan memberikan maklumat tepat kepada rakyat mengenai isu berkaitan tanah," katanya.

Mengikut polisi baru tanah yang diumumkan Mei lalu, bagi perlanjutan tempoh pajakan tanah 60 tahun kadar premium yang dikenakan adalah antara 25 hingga 40 peratus berbanding 50 peratus sebelum ini.

Manakala kadar premium bagi perlanjutan hak milik 99 tahun yang baru diperkenalkan akan dikenakan premium tambahan sebanyak 30 peratus. Ia juga pertama kali kerajaan negeri membenarkan pajakan sehingga 99 tahun serta bayaran ansuran sehingga 10 tahun.

Mengikut polisi premium baru itu, katanya, kadar perlanjutan tempoh tanah bandar bagi tujuan kediaman ditetapkan pada kadar rata 25 peratus daripada kadar bayaran sebelum ini iaitu antara 25 dan 50 peratus. Kadar siling tanah bandar bagi tujuan komersil, industri dan rekreasi dikurangkan daripada 61 peratus kepada 40 peratus dengan kadar premium minimum 25 peratus.

Untuk tanah pinggir bandar premium yang dikenakan adalah antara 25 dan 35 peratus, manakala kadar rata premium sebanyak 25 peratus dikenakan kepada tanah di luar bandar.

Dasar baru turut membolehkan permohonan membuat perlanjutan tempoh hak milik pada bila-bila masa sebelum tempoh pajakan tanah tamat. Namun, perlanjutan itu hanya akan dibuat dengan syarat hartanah itu digunakan atau dibangunkan tanpa melanggar syarat pemilikan dan tidak diperlukan oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan.

Kadar sewa tanah yang baru di Sarawak juga terendah di negara ini iaitu antara tiga sen hingga 14 sen meter persegi berbanding Kuala Lumpur antara 10 sen hingga 72 sen dan Perak (antara RM1.10 hingga RM4.30).

Bertia Harian 5/12/2007

No comments: