'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Saturday, December 15, 2007

44. Isu : Dadah mudah bolos?

KEBELAKANGAN ini sering kita terbaca di dada akhbar yang menyiarkan rakyat Malaysia terutamanya gadis-gadis yang ditahan di lapangan terbang luar negara kerana membawa dadah.

Gadis-gadis ini terpedaya dengan janji- janji manis kenalan atau orang yang baru dikenali untuk membawakan beg atau barang untuk mereka tanpa mengetahui bahawa barang yang dibawa adalah dadah.

Simpati saya melihatkan ibu bapa gadis- gadis terbabit terpaksa bertungkus-lumus mencari wang untuk menampung kos membiayai khidmat peguam di negara asing. Pihak kerajaan serta NGO di negara kita turut membantu untuk menyelamatkan gadis-gadis kita yang ‘terpedaya’ ini.

Tetapi tidakkah kita lihat dari sudut keselamatan iaitu masih wujud kelemahan di pintu keluar masuk sempadan kita terutamanya di lapangan-lapangan terbang.

Difahamkan gadis-gadis tersebut ditahan setelah berlepas melalui lapangan terbang negara kita.

Ini baru di tempat yang menggunakan kecanggihan sistem keselamatan secara sepenuhnya, bagaimana pula di sempadan-sempadan di sebelah utara dan Pantai Timur negara yang masih menggunakan sistem kawalan manusia.

Saya amat yakin bahawa senjata api dan dadah terlarang telah banyak dibawa masuk ke negara kita.

Baru-baru ini berlaku tembak-menembak antara penjenayah dengan anggota polis sehinggakan menyebabkan kematian kepada anggota keselamatan kita dan daripada laporan yang diberikan oleh akhbar bahawa penjenayah tersebut menggunakan senjata yang canggih dan automatik.

Adakah negara kita pengeluar senjata api? Jika tidak, ini bermakna senjata-senjata api yang lebih baik atau canggih telah berada di tangan penjenayah kerana berpunca daripada kelemahan sistem kawalan sempadan negara kita.

Kerajaan telah berhabis berjuta ringgit untuk menangani masalah dadah dan jenayah, tetapi ianya masih berleluasa antaranya disebabkan kawalan di pintu masuk negara mudah dibolosi.

Kerajaan harus menyediakan dan membeli sistem imbasan yang terkini yang dapat melihat dan memberitahu sekiranya ada benda terlarang melaluinya.

Saya amat yakin jika kawalan sempadan di seluruh negara kita diperketatkan lagi, maka jenayah-jenayah berat dan pengedaran dadah dapat dibanteras. Kerajaan jangan hanya mengharapkan iklan-iklan yang disiarkan dapat mengurangkan jenayah atau penggunaan dadah tetapi ia mudah diperoleh di negara kita.

Ahli-ahli Parlimen harus melihat perkara ini lebih kerap serta mendalam dan jangan hanya membincangkan perkara remeh-temeh atau bergaduh sesama sendiri di dewan yang mulia itu.

Gerakkan cadangan dan usul mengenai perkara-perkara yang dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan daripada jenayah berat ini terutamanya pengedaran dadah. Dan harus diingat, Malaysia bukan pengeluar atau penanam tanaman menghasilkan dadah tetapi persoalannya kenapa bahan itu amat mudah diperoleh.

Ahli-ahli Parlimen perlu bentangkan di Parlimen mengenai bagaimana dan macam mana untuk menyelesaikan.

Ahli-ahli Parlimen juga harus membuat lawatan mengejut di semua sempadan negara dan melihat sendiri apa yang ada di sempadan kita dan perlu cadangkan mekanisme terbaik untuk keselamatan sempadan kita.

Jika terdapat alat imbasan yang rosak, harus cepat diperbaiki. Jangan simpan sehingga setahun, baru hendak diperbaiki. Pengarah-pengarah keselamatan dan penguat kuasa sama ada polis, tentera, Jabatan Kastam harus kerap membuat lawatan mengejut.

Cuba uji sistem keselamatan di sempadan dengan membuat penyamaran dan menyeludup barangan terlarang. Jika mudah lepas dari pintu sempadan, mantap dan perkemaskan mekanisme penyelidikan keselamatan sempadan atau tukar pegawai-pegawai di sempadan negara dengan pegawai yang baru.

Bertindaklah sebelum semakin ramai lagi belia kita dirosakkan oleh ketagihan dadah dan jenayah. Belia pewaris takhta pemerintahan negara. Hukum harus ditegakkan meskipun langit akan runtuh.

– GHAZALI ZAINAL
Bandar Sri Permaisuri,
Kuala Lumpur. (Utusan Malaysia 15/12/07)

No comments: