'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Monday, December 10, 2007

37. ISU & PANDANGAN

KIKIS BUDAYA INGIN SEMUA PERCUMA

BEBERAPA minggu lagi anak yang bersekolah akan kembali ke sekolah untuk menyambung pembelajaran bagi sesi 2008. Ramai di antara mereka akan bergembira dengan kelengkapan baru seperti pakaian sekolah, beg dan sebagainya. Bagi ibu bapa pembukaan sesi persekolahan anak mereka kadangkala menjadi satu fobia kerana jika mereka mempunyai ramai anak yang bersekolah, perbelanjaan bulanan akan berlipat ganda daripada kebiasaan. Ini ditambah lagi dengan perbelanjaan untuk Aidiladha dan juga Krismas yang akan disambut penghujung Disember. Sedikit sebanyak memerlukan perbelanjaan tambahan.

Pembentangan Bajet 2008 oleh Perdana Menteri sedikit melegakan hati ibu bapa kerana semua murid yang bersekolah akan mendapat pinjaman buku teks dan pengecualian yuran persekolahan mulai sesi persekolahan 2008. Bagaimanapun kelegaan ibu bapa tidak panjang apabila bermula cuti persekolahan yang baru lalu anak mereka dibekalkan oleh pihak sekolah senarai yuran, pembelian alat tulis, baju pendidikan jasmani dan sebagainya di mana jumlahnya tidak banyak berbeza daripada tahun sebelumnya kerana pada perkiraan ibu bapa segala bentuk yuran dimansuhkan sedangkan hanya yuran sekolah ialah RM10 bagi sekolah menengah dan RM5 bagi sekolah rendah. Ramai ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati dan marah kepada pihak sekolah dan meminta penjelasan. Walaupun telah dijelaskan, ada ibu bapa yang masih tidak puas hati.

Sebagai ibu bapa yang dianugerahkan anak oleh Allah SWT, kita sepatutnya menganggap tanggungjawab membesarkan anak sebagai satu amanah dan pengorbanan. Berapa ramai ibu bapa yang tidak mempunyai anak, sanggup memelihara anak angkat walaupun ia menambah beban. Sekiranya pihak kerajaan memberikan sesuatu insentif atau kemudahan, kita patut terima dan rasa syukur. Jangan pula kita seolah-olah ibarat 'diberi betis hendak peha'. Segala yang diberikan oleh kerajaan kita terima dan selebihnya sebagai ibu bapa kita perlu berusaha mendapatkannya dan berbelanja dengan berhemat.

Kebanyakan ibu bapa kita dulu hanya hidup sederhana dan ramai yang kais pagi makan pagi. Bilangan anak mereka lebih dari tujuh atau lapan orang, namun mereka bersemangat berusaha dengan tulang empat kerat bagi memastikan semua anak mereka mendapat pelajaran yang sepatutnya. Pada masa itu tidak banyak peluang pekerjaan dan kebanyakan mereka adalah petani, penoreh getah dan nelayan. Pada masa sekarang di mana peluang pekerjaan amat luas dari pelbagai bidang sehingga kita terpaksa mengimport buruh asing hinggakan mereka boleh menjadi kaya raya di Malaysia, tetapi amat malang sekali kita sebagai ibu bapa di tanah air sendiri terus mengharap simpati kerajaan membantu persekolahan anak sendiri.

Ada juga ibu bapa yang menyalahgunakan biasiswa anak mereka untuk membayar sewa rumah, ansuran kereta dan sebagainya. Ada juga segelintir ibu bapa yang marah kepada pihak sekolah sekiranya anak mereka tidak mendapat biasiswa sedangkan biasiswa hanya diberikan kepada murid yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Adakah wajar memberikan biasiswa kepada murid miskin serta pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah amat rendah?

Tentu ini tidak adil. Biasiswa diberikan kepada murid yang mempunyai potensi untuk maju agar dapat membeli buku tambahan dan membayar yuran tuisyen dan bukan untuk membeli kasut Nike, Adidas dan bergaya dengan telefon bimbit berkamera. Janganlah kita mengharapkan segala-galanya percuma kerana ia menjadikan kita lalai kepada tanggungjawab kita. Berusahalah menambah pendapatan keluarga di negara yang di anggap oleh pendatang asing sebagai 'Lubuk Emas'.


PESAKIT ADA HAK MINTA MAKLUMAT

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) merujuk kepada kebimbangan yang disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai kadar bayaran hospital swasta yang terlalu tinggi. Peraturan Kemudahan Penjagaan Kesihatan dan Perkhidmatan Swasta 2006, yang merangkumi hospital swasta, klinik perubatan, klinik gigi dan kemudahan penjagaan kesihatan swasta, berkuat kuasa tahun lalu.

Ia adalah satu cara yang boleh digunakan bagi menjamin hak pesakit. Mengikut peraturan ini, pesakit mempunyai hak untuk menerima maklumat mengenai bayaran yang dianggarkan bagi perkhidmatan untuk disediakan dan bayaran lain yang tidak dijangka bagi perkhidmatan yang menjadi rutin atau biasa.

Seseorang pesakit juga mempunyai hak untuk dimaklumkan mengenai prosedur bayaran yang dikenakan oleh hospital swasta sebelum memulakan penjagaan atau rawatan khusus. Pesakit berkenaan boleh meminta bil terperinci bagi seluruh rawatan tanpa dikenakan sebarang bayaran tambahan.

Orang yang bertugas di hospital swasta diwajibkan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan pesakit diberi maklumat mengenai syarat perubatan dan sebarang rawatan yang disarankan, penyiasatan atau prosedur dan kos rawatan, penyiasatan atau prosedur yang mungkin dikenakan. Peraturan itu juga menyediakan jadual bayaran untuk menentukan bayaran yang boleh dikenakan. Jadual bayaran ini termasuk senarai bayaran menyeluruh yang boleh dikenakan bagi pelbagai prosedur.

Orang awam perlu menggunakan hak mereka dan menyuarakan aduan melalui saluran yang telah disediakan. Mereka seharusnya mengharapkan tindakan diambil sama ada melalui hospital swasta sendiri ataupun Kementerian Kesihatan untuk menangani aduan ini dengan betul.

S M MOHAMED IDRIS,Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).



Birokrasi jabatan bantutkan bantuan untuk OKU

SAYA merujuk surat bertajuk 'Orang Kurang Upaya perlu diberi elaun sara hidup' yang disiarkan pada 6 Disember lalu. Saya menyokong cadangan penulis surat berkenaan agar semua golongan Orang Kurang Upaya (OKU) diberi bantuan sewajarnya dan bukan hanya pada golongan bekerja dan belajar saja.

Apa akan terjadi pada golongan yang tidak mampu berdikari dan cuma terlantar tanpa bantuan? Golongan ini juga perlu dibantu dan diberi tumpuan sebab mereka tidak boleh bekerja, jadi bagaimana untuk mendapat sara hidup sendiri, apatah lagi di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Saya menulis berdasarkan pengalaman sebagai ibu tunggal yang mempunyai anak OKU yang tidak mampu bekerja dan berdikari. Puas sudah saya memohon kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat tapi permohonan saya ditolak dengan alasan gaji melebihi RM500 sebulan.

Bayangkan saya dengan gaji kurang RM1,000 dan mempunyai anak seramai empat orang termasuk anak kurang upaya hendak menyambung hidup dengan gaji yang tidak seberapa? Permohonan untuk anak OKU ditolak dengan alasan anak ini belum bekerja sedangkan anak ini memang tidak mampu bekerja untuk selama-lamanya. Sudah tentu selamanya anak ini tidak akan mendapat bantuan. Permohonan kepada Pusat Zakat atau Baitulmal juga ditolak dengan alasan OKU tidak tergolong dalam asnaf. Bantuan raya jauh sekali. Golongan OKU memerlukan wang yang banyak untuk perubatan dan perbelanjaan harian.

Nasib golongan ini juga terus terpinggir tanpa mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak kerajaan, apatah mengecapi kemakmuran negara seperti orang biasa. Jabatan Kebajikan juga perlu membuat bancian berapa ramai OKU yang memerlukan bantuan, jangan hanya duduk di pejabat menunggu OKU datang mendaftar dan terus dilupakan.

Elaun ini juga boleh disalurkan terus kepada OKU yang mendaftar tanpa mengira tahap kecacatannya. Kerenah birokrasi Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menambah kesusahan golongan OKU ini.

Memang kerajaan ada menyediakan peruntukan yang banyak untuk OKU tapi berapa ramai OKU yang mendapat peruntukan ini. Ramai OKU yang terlantar tanpa sebarang bantuan, terus terpinggir tanpa pembelaan. Kami menyeru kerajaan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat agar dapat mengkaji semula syarat bantuan untuk OKU agar golongan ini dapat bersama-sama merasai bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan bantuan itu benar-benar sampai kepada OKU yang memerlukan.

IBU TUNGGAL,Kuala Lumpur.

No comments: