'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Friday, December 28, 2007

52. Tindakan tegas jika graduan menipu

Ijazah ditarik balik bagi sekat kegiatan upah penulis profesional siapkan tesis SEREMBAN: Kerajaan memberi amaran akan menarik balik ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menipu dengan mengupah penulis profesional menyiapkan tesis mereka. Ketika memberi amaran itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata ia perlu demi memelihara dan menjaga nama baik bukan saja universiti tempat mereka mengikuti pengajian, malah imej negara. Beliau berkata, kementerian memandang serius gejala itu dan kegagalan menanganinya boleh menjejaskan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan penuntut yang terbabit. Sekiranya reputasi universiti tercemar dengan isu ini, ia akan menjejaskan hasrat kita melahirkan lebih ramai graduan berkualiti," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Pembelajaran Open University Malaysia (OUM) Negeri Sembilan, di sini semalam. Hadir sama Presiden dan Naib Canselor OUM, Profesor Tan Sri Anuwar Ali. Mustapa berkata, kementerian juga berharap pihak universiti dan pensyarah memainkan peranan membanteras kegiatan itu daripada berleluasa dengan mengambil tindakan tegas terhadap penuntut terbabit.

"Mereka mesti sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap penuntut yang menggunakan penulis profesional. Tidak kira sama ada dari universiti awam atau swasta," katanya. Mustapa bagaimanapun berharap orang ramai tidak bimbang dengan kegiatan itu kerana pihaknya akan sentiasa memantau dan yakin bilangan penuntut yang terbabit adalah kecil. "Kementerian berjanji akan mengambil tindakan tegas bagi menangani perkara ini. Kita juga berharap mereka yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan," katanya. Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Kementerian Pengajian Tinggi menggesa masyarakat tidak mudah terpedaya atau cuba mengambil jalan pintas dengan membeli sijil Ijazah Sarjana Muda, Sarjana atau Kedoktoran 'ekspres' yang ditawarkan beberapa laman web berpangkalan di luar negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Dr Hassan Said, berkata tindakan tegas boleh dikenakan sama ada kepada IPT atau individu yang cuba menawarkan, membeli atau mempunyai sijil berkenaan. Beliau menasihatkan masyarakat tidak tertipu biarpun laman web berkenaan mendakwa sijil yang ditawarkan mendapat akreditasi antarabangsa serta mampu dikeluarkan dalam masa lima hari. "Kementerian sukar mengawal sijil pengajian yang dikeluarkan di luar negara lebih-lebih lagi menerusi internet berbanding sijil dikeluarkan IPT dalam negara yang tertakluk kepada peraturan undang-undang pengajian tinggi. "Malah, sijil dalam negara ini menepati prosedur standard kementerian dan sukar untuk diciplak selain mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya ketika dihubungi, Berita Harian, di sini, semalam.

BH 28/12/07

No comments: