'SELAMAT DATANG KE BLOG 'PUSAT MAKLUMAT RAKYAT KUCHING'

Kami menyediakan bahan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan internet bagi para pelanggan.

LEAVING THIS BLOG NOW...................

As I will be on a long months' holidays starting 7th July 2010 prior to my retirement in October 2010, I will suspend my service in updating my blog on daily issues or facts of interest.

I would like to thanks everyone for having the interest in surfing my blog and sharing the thoughts with me.

Thank you to everyone.


Wednesday, December 5, 2007

33. Mahkamah Jepun tolak rayuan Raja Munirah













Sebuah Mahkamah Tinggi di Jepun semalam menolak rayuan pelajar Malaysia, Raja Munirah Raja Iskandar (gambar), bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo, tahun lalu.

Peguamnya, Rosal Azimin Ahmad, berkata mahkamah bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah selama 100 hari, bermakna dia akan dipenjara selama tujuh tahun sebulan.

Ketika dihubungi di sini, beliau berkata, mahkamah tidak menerima keterangan forensik siber iaitu laporan data khidmat pesanan ringkas (SMS), bagi mengetepikan semua SMS antara Raja Munirah dengan lelaki Iran bernama Milad, yang didakwa Raja Munirah sebagai orang yang menganiayainya.

Katanya, mahkamah mendapati keterangan menerusi laporan forensik siber itu tidak mencukupi, selain meragui kesahihan laporan data SMS terbabit. Rosal Azimin berkata, beliau bersama sekumpulan peguam Jepun akan merayu keputusan itu kepada Mahkamah Agung dalam masa 10 hari.

Raja Munirah, 22, pelajar bidang sebaran am di sebuah kolej swasta di Malaysia, mengaku bersalah terhadap tuduhan itu pada 20 Disember tahun lalu.

Dia mendakwa diperdaya Milad untuk membawa beg melepasi pusat pemeriksaan kastam tanpa mengetahui kandungannya. Dia kini berada di pusat tahanan Kosuge di Tokyo.

Pada 15 November lalu, mahkamah menangguhkan rayuan Raja Munirah untuk mengetepikan hukuman yang disabitkan terhadapnya bagi membolehkan syarikat telekomunikasi mendapatkan semula rekod data SMS dan panggilan telefon bimbit Raja Munirah.

Kelmarin, hampir 40 rakan dan kenalan keluarga Raja Munirah mengadakan solat hajat dan kempen `Bebaskan Raja Munira' di Surau Mutiara Damansara di sini, bagi meraih perhatian serta sokongan orang ramai dan media terhadap kes itu. Bapanya, Raja Iskandar Shah Raja A Aziz, 48, berkata kempen itu bertujuan menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa Raja Munirah tidak bersalah serta tidak mendapat peluang sepenuhnya untuk mempertahankan diri ketika ditahan, setahun lalu.

Raja Iskandar juga berkata, pasangan suami isteri warga Jepun, Takashi Kato, 58, dan Kaoru Kato, 52, yang membuka kafe di Sri Hartamas turut membantu keluarga dan peguam bela Raja Munirah bagi memastikan tiada salah faham berlaku antara pihak di Malaysia dengan Jepun.



SINDIKET DADAH 'PERALAT' WANITA

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar mengakui memang wujud sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang mengeksploitasi rakyat negara ini, terutama wanita.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dikesan beroperasi dengan berselindung di sebalik aktiviti lain dan menggunakan rakyat negara ini sebagai ‘alat’ untuk mengedar dadah bagi pihak mereka.

Anggota sindiket terbabit menggunakan pelbagai helah dan taktik, termasuk tawaran kerja dengan gaji lumayan untuk memerangkap mangsa, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, semalam. Beliau berada di Kelantan untuk lawatan kerja selama dua hari bermula kelmarin.

“Kita minta rakyat negara ini berhati-hati dan lebih berwaspada,” katanya ketika mengulas kes seorang wanita rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman mati di China kerana menyeludup heroin. Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, yang berasal dari Pasir Puteh dekat sini dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou pada 15 Mei lalu atas kesalahan menyeludup 2,983 gram heroin. Umi Azlim diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman itu untuk membuat rayuan.

Berhubung kes itu, Ismail berkata, pihaknya akan menghubungi Kerajaan China untuk mendapat maklumat terperinci mengenainya.

“Kita akan hubungi Kerajaan China untuk siasatan lanjut. Kita hormati undang-undang negara luar, semua perlu dilakukan mengikut prosedur. Dalam kes ini, ia masih boleh buat rayuan, kita cuba sedaya upaya untuk membantu,” katanya.

Sebelum ini negara ini dikejutkan berita seorang rakyat Malaysia, Raja Munirah Raja Iskandar, 22, yang ditahan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo juga atas tuduhan menyeludup dadah. Berdasarkan statistik polis, pada tahun ini saja, sebanyak 30 kes membabitkan wanita Malaysia ditahan di luar negara kerana terbabit dalam menyeludup masuk dadah ke negara terbabit.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, masyarakat jangan mudah terpedaya dan selidik dulu latar belakang orang yang baru dikenali apatah lagi jika ditawarkan untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan upah yang lumayan.


Bernama - 5/12/07

No comments: