Kerajaan perlu nilai kembali agihan subsidi agar dinikmati golongan berpendapatan rendah
RAKYAT sering meletakkan harapan sepenuhnya kepada kerajaan untuk mengatasi segala permasalahan yang menerjah kehidupan mereka. Hal ini tidak salah kerana itu adalah sebahagian tanggungjawab kerajaan.
Namun, sudah sampai masanya sikap meletakkan segala beban kepada kerajaan perlu diubah. Rakyat sendiri hendaklah lebih memahami keupayaan kerajaan berhadapan dengan sesuatu persoalan secara lebih rasional supaya rakyat bersedia memikul tanggungjawab terhadap masalah yang dihadapi, terutama membabitkan tekanan dan pengaruh global.
Justeru, dalam pergolakan dunia yang tidak menentu hari ini rakyat perlulah memahami hakikat kenaikan harga minyak dunia yang kini sudah mencecah hampir AS$100 setong.
Kenaikan harga minyak yang mendadak ini akan menjadi rantaian kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan tertentu dan ini sekali gus meningkatkan kos sara hidup rakyat.
Bukan rakyat saja yang merasai bebannya, bahkan kerajaan juga tidak terkecuali. Rakyat seolah-olah sudah terbiasa berpaut kepada 'subsidi minyak' negara. Selama ini kerajaan menyediakan jumlah subsidi berbilion ringgit hasil daripada sumber minyak negara. Pada 2006 kerajaan terpaksa menanggung subsidi berjumlah RM19 bilion berbanding RM16 bilion pada 2005. Perlu diingat bahawa harga minyak mentah pada 2006 ialah AS$70 setong. Jadi, bayangkan berapa banyak pertambahan jumlah subsidi yang terpaksa dipikul kerajaan untuk tahun ini dan mungkin berlarutan untuk beberapa tahun akan datang sekiranya pasaran minyak dunia berada dalam keadaan tidak menentu.
Justeru, sudah sampai masanya rakyat perlu mengubah persepsi terhadap subsidi minyak. Kenaikan harga minyak dunia yang berlaku hari ini berkait rapat dengan beberapa perkembangan yang berlaku pada peringkat global seperti krisis politik di rantau Asia Barat, ketegangan Washington-Teheran, peningkatan permintaan oleh negara industri, krisis kredit global dan kegagalan Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (Opec) memenuhi kuota pengeluaran ditetapkan.
Kejatuhan dolar Amerika sebanyak sepuluh peratus sejak beberapa bulan lalu turut mempengaruhi kenaikan harga minyak dunia. Keadaan menjadi lebih parah lagi apabila minyak dijadikan senjata dan agenda politik oleh kuasa besar, terutama Amerika Syarikat. Negara sekitar Teluk Parsi seperti Arab Saudi, Iraq, Iran, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah 'telaga minyak' dunia. Justeru, tindakan Amerika mengganggu kestabilan politik di rantau berkenaan menyebabkan paras harga minyak dunia menjadi tidak menentu.
Malah, kebanyakan negara terbabit bergantung kepada syarikat gergasi minyak dunia untuk beroperasi bagi mengeluarkan minyak mereka. Ini memberikan laluan kepada beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jepun menawarkan kepakaran, teknologi, dana dan bantuan pembangunan kepada negara berkenaan di samping menjadikannya sebagai 'senjata diplomatik' mereka.
Walaupun sejak kebelakangan ini wujud syarikat minyak milik kerajaan di negara pengeluar minyak seperti Saudi Aramco (Arab Saudi), NIOC (Iran), Gazprom (Russia), CNPC/Petro (China), Petrobras (Brazil) dan Pdvsa (Venezuela), industri minyak dan gas dunia masih dikuasai syarikat multinasional dari Amerika Syarikat dan Eropah. Exxon Mobil dan Royal Dutch/Shell adalah di antara syarikat multinasional Barat yang menguasai industri tenaga dunia. Sementara itu, di kebanyakan negara pengeluar minyak mula menjadikan tenaga ini sebagai kuasa untuk kepentingan mereka (nasionalisme minyak).
Semua perkembangan semasa ini menjadikan krisis minyak dunia semakin meruncing. Dalam jangka masa panjang krisis 'bijih hitam' ini akan menjadi lebih parah kerana simpanannya yang semakin merosot. Jika pada 1980, minyak adalah 45 peratus sumber tenaga dunia, tetapi hari ini menurun kepada 34 peratus. Kebanyakan negara teluk belum menerokai telaga minyak simpanan masing-masing.
Malaysia, walaupun menghasilkan minyak, tetapi ia bukanlah negara pengeluar utama dan tidak pula menjadi anggota Opec. Simpanan minyak negara dijangka akan menjadi semakin berkurangan untuk satu dua dekad akan datang. Justeru, ia menuntut kerajaan menyemak kembali dasar 'subsidi minyak' sebagai langkah berhadapan dengan krisis minyak global dan simpanan minyak negara yang semakin terhad.
Justeru, rakyat harus membuka minda melihat bahawa kerajaan tidak selamanya mampu untuk terus menampung subsidi kepada seluruh lapisan pengguna. Penyemakan semula adalah wajar apatah lagi melihat kepada pengagihannya yang lebih menguntungkan golongan berpendapatan tinggi dan pihak korporat.
Sektor industri (pengilangan) misalnya turut menikmati kemudahan subsidi gas dan ini sekali gus negara memberikan 'subsidi' kepada negara maju melalui produk yang dijual. Kemudahan subsidi gas yang dinikmati sektor industri menyebabkan penggunaan gas domestik meningkat sebanyak 39 peratus. Selain sektor industri, pengeluar tenaga bebas (IPP) turut menikmati manfaat subsidi melalui pembelian tenaga oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan TNB terpaksa membayar lebih RM3.3 bilion setahun kepada IPP. Secara kasarnya, 70 peratus elektrik negara dijana melalui gas.
Gas membentuk 48 peratus perbelanjaan TNB. Justeru, adalah kena pada masanya kerajaan menilai kembali pengagihan subsidi minyak supaya ia benar-benar dapat dinikmati golongan berpendapatan rendah seperti disuarakan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa sistem subsidi diamalkan sekarang tidak adil kepada golongan miskin, malah satu pembaziran kerana dinikmati golongan kaya.
Di kebanyakan negara, kenaikan harga minyak yang tinggi menyebabkan negara berkenaan berusaha mengurangkan pergantungan terhadap minyak dengan mencari tenaga alternatif sebagai jalan mengatasi kemelut dihadapi. Negara berkenaan turut mempergiat kempen ke arah penggunaan tenaga secara lebih efisien dan penggunaan yang berhemah.
Di antara bahan tenaga alternatif yang mendapat perhatian ialah tenaga nuklear, penjanaan kuasa elektrik hidro, biojisim, angin, suria dan hidrogen. Malaysia turut memikirkan penggunaan tenaga nuklear sebagai alternatif mengatasi masalah minyak. Buat masa ini negara hanya mempunyai pusat kajian tenaga nuklear yang kecil (di Bangi, Selangor).
Selain itu, pembangunan loji tenaga nuklear, terutama di negara Islam sering dipandang serong oleh Amerika Syarikat yang sering menuduh ia digunakan untuk memajukan senjata nuklear. Perbalahan Iran-Amerika Syarikat adalah contoh dalam hal ini. Kita harus bersyukur kerana dalam keadaan kenaikan harga minyak yang mendadak ini kerajaan memberi jaminan bahawa harga minyak dan gas tidak akan dinaikkan tahun ini.
Di samping itu kadar inflasi kita masih terendah di rantau ini iaitu untuk tahun ini sekitar dua hingga 2.5 peratus dan untuk tahun depan dijangka sekitar dua hingga tiga peratus. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata Malaysia buat masa ini mampu berhadapan dengan sebarang kesan daripada peningkatan harga minyak mentah dunia. Keupayaan negara mempelbagaikan sumbernya dan tidak terlalu bergantung kepada eksport ke negara Barat menyebabkan ekonomi negara mempunyai daya tahan yang tinggi.
Penulis ialah Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan.
Tuesday, December 4, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment